KUALA LUMPUR: Umum mengetahui, Rusia ialah sebuah negara bekas komunis dan masyarakatnya dipenuhi warga yang beragama Kristian.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu, sebagai sebuah negara terbesar di dunia, kira-kira 20% atau 25 juta daripada keseluruhan 150 juta penduduk Rusia, terdiri daripada penganut agama Islam.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Persekutuan Rusia, Rushan Abbyasov berkata, menariknya di negara itu, Islam mewakili sebahagian besar geografinya, di mana masyarakatnya tersebar bermula dari Kaliningrad di bahagian Barat sehingga ke Nakhodka di sebelah Timur.

Malah, beliau menambah, terdapat 8,000 buah masjid di serata wilayah di Rusia dengan zon waktu berbeza.

"Masjid-masjid di Rusia pula ada di antaranya dibina seawal kurun ke-8 di wilayah moden di Rusia,'' katanya dalam satu kenyataan yang dihantar Kedutaan Rusia di sini kepada Astro AWANI.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Persekutuan Rusia, Rushan Abbyasov akui ramai yang teruja ingin mengenali Rusia dan cara hidup orang-orang Islam di negara terbesar di dunia itu. - Gambar FB Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur

Setiap daerah persekutuan pula, katanya, mempunyai masjid dengan ciri-ciri unik dan tersendiri.

Sebagai contoh, katanya, di kawasan hutan di Kaukasus, masjidnya dibina menggunakan batu, manakala di daerah Volga pula, beberapa buah masjid di situ mempunyai senibina menggunakan kayu bagi memastikan tradisinya dipelihara.

Kenyataan Rushan itu dikeluarkan sempena pameran 'Traditions of Islam in Russia'  yang berlangsung di Muzium Kesenian Islam di sini bermula hari ini sehingga akhir tahun.

Masjid dikenali White Mosque ini merupakan masjid terbesar di Bolgar, barat daya Tatarstan. Masyarakat di sini, dahulunya Volga Bulgars paling awal menerima kedatangan Islam iaitu kira-kira 1,100 tahun lalu. - Gambar FB Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur

Pameran berkenaan turut diadakan sempena ulang tahun ke-1,100 kedatangan Islam di Volga Bulgaria, yang menjadi sejarah penting bertapaknya Islam di Rusia.

Untuk rekod, pada Mei 922, Islam diisytiharkan sebagai agama negara Volga Bulgaria, sebuah negeri yang terletak di wilayah Volga Tengah dan wilayah Kama pada abad X-XIII.

Sebelum ini, pameran 'Traditions of Islam in Russia' berlangsung dengan jayanya di Brunei, dan turut diadakan di Indonesia dan Arab Saudi.

Antara lain, pameran itu menjadi medan untuk memperkenalkan Rusia, seterusnya memberi peluang kepada pelawat mengenali lebih dekat negara itu.

Selebihnya, ia juga bermatlamat supaya pelawat mengagumi warisan senibina Islam khususnya yang terdapat di Rusia.

"Saya merasakan kini, lebih ramai pelawat yang teruja untuk datang ke Rusia dan melihat dengan lebih dekat cara hidup orang-orang Muslim di sana," kata Rushan yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Mufti Rusia.

Ujar beliau, pameran itu nanti diharap boleh menjadi garis panduan kepada pelawat untuk lebih berminat dengan Rusia, sekali gus berkunjung ke negara itu bagi meneroka keistimewaannya.

Pakaian tradisional masyarakat Islam Rusia, makanan dan hidangan istimewa serta keindahan beberapa masjid di  Rusia antara tarikan di pameran 'Traditions of Islam in Russia' yang bermula 23 November 2022 sehingga hujung tahun di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur. - Gambar FB Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur

Rushan berkata, beliau turut berharap pameran itu nanti berupaya menyuntik rasa dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengenali Rusia, lebih-lebih lagi mereka yang mahu meneroka tentang Islam di negara tersebut.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menarik perhatian tentang hubungan baik yang terjalin selama ini antara Rusia dan Malaysia.

"Hubungan baik kedua-dua negara ini terjalin sangat memberangsangkan, kukuh dan sentiasa berkembang dengan positif sekali," ujar Abbysov.

Terdapat 150 pempamer di pameran berkenaan yang dibahagikan kepada lapan seksyen, di mana setiap satunya mewakili daerah persekutuan di Rusia.

Antaranya termasuk sejumlah besar masjid yang menarik, cuti perayaan kebangsaan dan agama, pakaian tradisional dan hidangan masyarakat Islam Rusia yang dipamer sepanjang ia berlangsung.

Paling menarik, salah satu seksyen dikhususkan kepada pameran yang mengangkat hubungan baik Rusia-Malaysia, yang mempamerkan pencapaian dan kejayaan penting, siri dialog serta jalinan kedua-dua negara di peringkat sosial dan agama negeri.