CYBERJAYA: Memorandum Jemaah Menteri berkaitan penyelarasan Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) disasarkan untuk dimuktamadkan dan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh sebulan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh berkenaan perlu dimanfaatkan bagi menetapkan garis masa, pembahagian peranan serta indikator keberhasilan yang jelas.
Ia bagi memastikan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Komunikasi dapat dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, kerjasama itu tidak seharusnya menjadi isu berpanjangan sehingga menyebabkan kedua-dua kementerian saling berbalas surat atau kenyataan.
"Kerjasama tidak boleh menyebabkan tanggungjawab menjadi kabur. Bagi setiap keputusan, mesti jelas siapa yang menerajui, siapa yang melaksanakan dan bila ia mesti diselesaikan.
"Saya mengharapkan Datuk Seri Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi), selepas bengkel ini, memorandum Jemaah Menteri antara kita, sama-sama kita duduk dan muktamadkan, untuk kita sama-sama bawa ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh sebulan dari hari ini.
"... Saya bekerja dengan real tough target date and timeline (tarikh sasaran dan garis masa yang sangat mencabar)," katanya ketika berucap pada Bengkel Kerjasama Strategik PKD, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta NADI Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
BERITA LANJUT MENYUSUL