Keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak dilantik sebagai anggota Kabinet disambut baik Datuk Seri Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata tindakan Presiden UMNO itu merupakan satu pengorbanan yang besar dan terpuji.

“Itu satu tindakan yang terpuji dan pengorbanan yang besar untuk membolehkan perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membentuk Kabinet yang akan meyakini rakyat. 


“Kerajaan Pakatan Harapan dahulu tidak pernah berbuat demikian kerana telah menghentikan kes Lim Guan Eng yang sudah pun berjalan hampir setengah jalan,” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Zahid cadangkan dirinya tidak dilantik sertai Kabinet

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional itu menjelaskan menjadi amalan terbaik kepada seseorang yang memegang jawatan dan didakwa di mahkamah untuk melepaskan sementara jawatan tersebut.

“Dalam amalan terbaik, kalau seseorang pegang jawatan (dan) jika didakwa, mesti melepaskan sementara jawatan itu.

“Apatah lagi, (Ahmad Zahid) belum dilantik, maka sudah tentu tidak boleh dipertimbangkan (untuk menganggotai Kabinet).

“Jadi Ahmad Zahid mempermudahkan perdana menteri untuk membuat keputusan kerana bukan mudah untuk ketepikan nama Presiden UMNO iaitu sebuah parti yang terbesar dalam komponen ini,” katanya lagi.

BACA: Kabinet 2020: Zahid garis asas, mahu bersih diri dalam mahkamah

Pada Sabtu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya beliau tidak dilantik menganggotai Kabinet.

Beliau pada masa sama mahu peluang diberikan kepadanya untuk membersihkan nama menerusi prosedur perundangan terhadap semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.