MALAYSIA
Menang atau kalah adat pertandingan - Raja Zarith Sofiah

Raja Zarith Sofiah menzahirkan sokongan kepada anakanda dan semua atlet negara, menyeru agar mereka terus bersemangat dan menyerahkan segala hasil usaha kepada ketentuan Allah SWT. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Menang atau kalah, manis dan pahit adalah adat pertandingan yang pasti dirasai setiap olahragawan, titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Ringkasan AI
- Titah Penuh Kasih dan Sokongan Diraja: Raja Zarith Sofiah menzahirkan sokongan kepada anakanda dan semua atlet negara, menyeru agar mereka terus bersemangat dan menyerahkan segala hasil usaha kepada ketentuan Allah SWT.
- Prestasi Berbeza Dua Putera Johor: Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman bersama Ben Green memenangi perlumbaan dengan jentera #99, manakala Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan Jordan Love (jentera #66) gagal menamatkan perlumbaan selepas insiden pelanggaran di selekoh terakhir.
- Kehadiran Diraja di Litar Fuji: Raja Zarith Sofiah berangkat ke Jepun untuk menyaksikan perlumbaan dan memberi semangat kepada kedua-dua anakanda yang mewakili pasukan Johor Motorsports Racing (JMR), yang memulakan perlumbaan dari petak hadapan.
"Begitu juga saya titipkan kepada semua atlet negara, tanpa mengira bidang sukannya, semoga terus bersemangat dan memberikan yang terbaik dalam usaha bersaing mengharumkan nama negara kita.
"Semuanya kita serah kepada Allah SWT dan jangan lupa bahawa semua yang berlaku, rezeki atau sebaliknya, adalah kurniaan Allah SWT," titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut catatan itu, Raja Zarith Sofiah kini berada di Jepun meraikan kemenangan sambil memberi pujukan untuk dua anakanda Seri Paduka Baginda yang mengalami nasib berbeza dalam perlumbaan kedua pusingan Litar Fuji Speedway bagi siri GT World Challenge Asia, hari ini.
Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman meneruskan prestasi cemerlang dengan kemenangan bergaya mendahului dari mula hingga akhir bersama Ben Green dalam jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R #99.
Sementara itu, nasib kurang baik bagi Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan Jordan Love (jentera #66) apabila kehilangan tempat ketiga di selekoh terakhir selepas dilanggar oleh pelumba lain dan tidak dapat menghabiskan perlumbaan.
Kedua-dua jentera Corvette Z06 GT3.R pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) itu memulakan perlumbaan kedua hari ini di barisan hadapan selepas menyambar petak pertama bagi jentera #99 dan kedua (jentera #66) pada pusingan kelayakan semalam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami