KRISIS politik negara mutakhir ini telah membawa kepada landskap baharu dalam politik tanah air.

Landskap baharu ini ditandai oleh sekurang-kurangnya lima faktor iaitu pemerkasaan amalan demokrasi beraja, pengukuhan politik Melayu sebagai teras politik Malaysia, politik kerjasama yang longgar, impak faktor 4R dan hero baharu kepemimpinan negara dan politik tanah air.

Faktor pertama, iaitu pemerkasaan amalan demokrasi beraja menzahirkan peranan istana dalam menyelesaikan konflik politik negara.

Krisis politik telah mendesak campur tangan pihak Istana bagi meredakan keadaan. Bermula langkah tegas Sultan Ibrahim di Johor dan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melantik Perdana Menteri ke-8, amalan demokrasi beraja semakin kukuh dalam landskap politik negara.

Meskipun amalan ini dilihat oleh sesetengah pihak termasuk media asing sebagai ‘rampasan kuasa’ oleh pihak istana, pandangan itu langsung tidak relevan.

Lebih penting, peranan istana ini termaktub dalam perlembagaan. Malah, rata-rata rakyat Malaysia melihat campur tangan ini adalah perlu kerana mereka sudah muak dengan karenah ahli politik yang bercakaran sesama sendiri untuk merebut kuasa tanpa sudah.

Krisis politik kali ini ‘mendekatkan’ lagi jarak pihak Istana ke pangkuan rakyat dengan menstabilkan keamanan siasah dan bukan lagi hanya simbol dan lambang mengikut pemikiran cetek beberapa pihak.

Untuk mengetahui kepentingan konsep demokrasi beraja dengan lebih lanjut, boleh merujuk kepada tulisan Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz berjudul, ‘Islam, Demokrasi dan Raja di Malaysia: Perspektif Perlembagaan’, dalam buku Demokrasi dan Dunia Islam: Perspektif Teori dan Praktik, terbitan Penerbit Universiti Malaya (UM), suntingan Mohd Izani Mohd Zain.

Kedua, kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk bertahan lama tidak berlaku semata-mata pergeseran antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akan tetapi, ia kerana wujud proses pembetulan dalam soal meletakkan politik Melayu sebagai teras politik Malaysia.

Naratif politik kerjasama PH yang bersandarkan kepada pendekatan centripetalism tidak lagi terikat dengan faktor perkauman, tetapi berpendekatan sederhana, moderat dan inklusif dengan memberi fokus kepada isu dan kepentingan bersama seperti demokrasi, kebebasan, keadilan dan pemerintahan baik (good governance).

Dari satu sudut, pendekatan centripetalism ini baik untuk pengukuhan demokrasi, namun membelakangi faktor etnik, sejarah dan perkongsian kuasa antara kaum dalam amalan politik di negara adalah satu kesilapan.

Lebih-lebih lagi, naratif politik kerjasama ini telah mula merobek kedudukan tiang seri dalam Perlembagaan Malaysia seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, institusi Raja dan hak keistimewaan bumiputera.

PH mungkin lupa, mereka dimenangkan oleh pengundi dalam Pilihan Raya ke-14 lalu bukan disebabkan oleh keinginan rakyat Malaysia untuk mengubah tiang seri ini, tetapi mahukan kerajaan yang lebih baik dan berintegriti.

Mereka dahulu menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi bukan perlembagaan.

Ketiga, landskap politik Malaysia kini berpaut kepada kerjasama politik yang longgar. Ia terbukti setelah berlaku krisis politik negara mutakhir ini.

Dalam ilmu sains politik, kerjasama politik mempunyai dua tahap. Pertama, disebut sebagai alliance atau kerjasama politik melangkaui pilihan raya untuk jangka panjang.

Kedua, disebut sebagai coalition, iaitu kerjasama politik untuk jangka pendek seperti memenangi pilihan raya sahaja.

Kerjasama politik melibatkan parti politik masa kini boleh dianggap rapuh kerana ia lebih dipengaruhi soal kepentingan kuasa dan kedudukan.

Malah, kepentingan ini boleh berubah dari semasa ke semasa. Mungkin sukar untuk mewujudkan semula konsep kerjasama politik seperti BN kecuali kerja keras dan permuafakatan antara elit politik.

Berbanding Perikatan Nasional (PN), banyak pihak mahu melihat Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan PAS diperkukuh demi kesejahteraan ummah.

Malah, MN dilihat sebagai teras kepada PN dengan kehadiran Bersatu sekaligus memperkukuh kedudukan politik Melayu/Islam.

Keempat, jika politik Malaysia selama ini tidak boleh menolak faktor 3R iaitu, race (perkauman), royal (istana) dan religion (agama), kini wujud satu lagi faktor R, iaitu region atau wilayah.

Perkara ini pernah saya sentuh ketika terlibat sebagai pembicara dalam Siri Seminar UMCEDEL bertajuk ‘ Landskap Politik Malaysia Pasca Tun Dr Mahathir’ anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan raya Universiti Malaya (UMCEDEL) baru-baru ini.

Penulis bersama rakan pembicara dan tetamu di Siri Seminar UMCEDEL bertajuk ‘Landskap Politik Malaysia Pasca Tun Dr Mahathir’ anjuran Pusat Kanian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) baru-baru ini.

Saya berpandangan, politik Malaysia perlu memberikan perhatian yang serius kepada soal kepentingan negeri atau wilayah.

Politik Malaysia tidak boleh lagi tertumpu di Putrajaya semata-mata, tetapi mengambil kira suara dan keperluan negeri. Inilah semangat dalam konteks federalisme yang sebenar.

Kelima, dengan krisis politik yang berlaku, sudah tiba masanya kita menobatkan hero-hero baharu dalam politik tanah air.

Tun Dr Mahathir merupakan seorang negarawan ulung yang banyak berjasa kepada kita semua, namun sampai bila kita harus bergantung kepada beliau.

Krisis politik ini sewajarnya membuka laluan kepada pemimpin politik lain untuk diberikan ruang dan peluang.

Pemimpin yang terlalu lama akan mewujudkan penginstitusian pemimpin yang tidak baik kepada demokrasi di negara.

Bakat baharu politik yang berintegriti dan berkeperibadian luhur mesti diangkat. Pemimpin yang god-fearing atau takutkan Tuhan perlu kita ketengahkan demi masa depan Malaysia yang sejahtera.

Kini, kita mempunyai perdana menteri baharu yang juga ahli politik berpengalaman, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, kita juga perlu siap siaga dengan ketumbukan pemimpin politik baharu yang mampu memimpin negara dengan sebaik-baiknya.

Bukan itu sahaja, kepemimpinan negara perlu mendapat sinergi ahli politik dan profesional kerana kita mahukan bakat terbaik untuk Malaysia.

Siapa sangka pada tahun keramat 2020, kita dihadiahkan dengan krisis politik sebegini.

Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Belajarlah sesuatu.

Apa yang jelas, lima faktor ini dilihat mewarnai landskap politik atau siasah Malaysia pasca krisis politik.



Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau merupakan penganalisis politik yang sering memberi komentar dalam media tempatan mahupun antarabangsa.

Penulis juga Setiausaha Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) dan bekas Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.