KUALA LUMPUR: Bukan sahaja seorang yang cukup bencikan rasuah, Allahyarham Datuk Dr Mohd Tap Salleh juga merupakan seorang yang berjiwa besar dalam memastikan negara bebas daripada najis rasuah.

Menurut Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, banyak pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan oleh bekas Presiden Institut Integriti Malaysia itu sebelum ini.

“Allahyarham ingin melihat lebih mendalam terhadap negara kita punya Indeks Persepsi Rasuah (CPI), jadi kita berhubung dengan Transparency International Malaysia.

“Kami telah berbincang banyak kali, untuk cari bagaimana hendak perbaiki CPI kita, kerana ia agak teruk dalam bebeberapa tahun kebelakangan ini.

“Allahyarham dan beberapa pegawai kerajaan pernah pergi ke Berlin, Jerman bagi mengadakan lawatan ke ibu pejabat persatuan tersebut.

“Allahyarham ingin melihat sendiri tentang bagaimana CPI itu dinilai dan sudah tentu beliau telah membawa beberapa cadangan kepada kerajaan.

“Dan juga cara untuk memperbaiki CPI kerana ia merupakan satu indeks yang cukup mustahak sekali yang mana ia bukan sahaja boleh menarik pelabur malahan juga memberi imej yang baik jika CPI kita berada di peringkat yang lebih baik,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Selain menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berperwatakan serius, Akhbar turut menyingkap semula momen-momen yang tidak dapat dilupakan sewaktu berkhidmat dalam Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan.

BACA: Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia meninggal dunia 

'Orang yang terlibat dengan rasuah patut dihukum tembak mati'

“Sepanjang saya berkenalan dengan Allahyarham, saya kadang kala terfikir juga sekiranya beliau mempunyai satu jawatan yang penting dalam kerajaan atau dalam politik.

“Saya yakin sudah tentu ramai yang akan gerun dengan beliau, kerana beliau ini merupakan seorang yang berani bercakap dalam mesyuarat. Jika ada sesuatu yang tidak benar, beliau tidak ada rasa gentar untuk bercakap.

“Allahyarham ini seorang yang serius, sangat tidak menggemari isu-isu rasuah ini. Saya pernah berkhidmat bersama beliau dalam jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang.

“Dalam sesi mesyuarat itu, dia begitu serius dan tegas. Beliau sering menegaskan bahawa orang-orang yang terlibat dalam rasuah ini sepatutnya dihukum seperti di China iaitu ditembak mati.

“Jadi, beliau adalah seorang yang memang serius dalam isu integriti dan memang baik sangat orangnya.

“Beliau mahu melihat negara ini sebagai sebuah negara yang dapat mengurangkan kegiatan rasuah, itu adalah ciri-ciri yang ada pada beliau,” jelas Akhbar lagi.

Terdahulu, Tap Salleh, 72 tahun meninggal dunia pada petang Selasa di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perkara itu dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Mohamad Azrieff Mohd Tap menerusi perkongsian WhatsApp hari ini.