KUALA LUMPUR:Kejayaan Allahyarham Tun Rahah Mohamed Noah dalam mendidik dan mengasuh lima anak lelaki ketika bergelar ibu tunggal dalam usia muda antara cerminan sifat seorang ibu mithali.

Bekas Prof Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzu berkata, perkara itu boleh dinilai menerusi kejayaan kelima-lima anak Allahyarham dimana salah seorang daripadanya merupakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sesungguhnya, apabila suami Allahyarham Tun Rahah meninggal dunia pada usia yang muda dan memiliki lima anak lelaki. Jadi untuk membesarkan anak lelaki merupakan tanggungjawab berat sebab dalam psikologi, anak lelaki memerlukan bimbingan model kebapaan.

"Ini yang perlu dipikul oleh Allahyarhamah Tun Rahah yang mana, menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada lima anak lelaki itu merupakan cabaran yang berat.

"Namun beliau (Allahyarham Tun Rahah) berjaya membentuk mereka melalui sifat sabar, tabah, gigih, penyayang dan komited, beliau menjadi pemangkin kepada perkembangan kelima-lima anaknya," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.

BACA: Mengenang Tun Rahah: Tenaga perkasa di belakang Tun Razak


Dalam pada itu, Rohaty berkata, meskipun ramai beranggapan Allahyarham, Tun Rahah seorang pendiam, namun mempunyai perwatakan yang tegas dan bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara.

"Saya tidak mengenali Allahyarham secara dekat, tetapi hanya melalui ibu saya dan apabila mengingat kembali, perwatakan Tun Rahah bukan sahaja cantik, lemah lembut, berbudi bahasa dan pendiam, tetapi beliau seorang yang tegas dan bersemangat.

"Mengenali beliau ketika itu, saya percaya beliau sangat aktif bersama-sama kaum ibu khususnya melibatkan parti dalam UMNO," katanya.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia petang semalam.


Penghormatan terakhir di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari sebelum jenazah dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur.