Seramai 84 majikan telah ditangkap dan sebahagiannya telah menghadapi pertuduhan di mahkamah kerana didapati menggaji pekerja asing bekerja dengan mereka.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, kesemua statistik itu adalah hasil daripada Ops Mega yang telah dilancarkan bermula 1 Julai lalu sehingga kini di seluruh negara.

Tambah beliau, operasi tersebut akan diteruskan bagi memburu majikan yang masih berdegil menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI) walaupun ada pihak yang merungut berikutan operasi perniagaan mereka yang terjejas akibat daripada operasi tersebut.


“Undang-undang tidak pilih kasih. Undang-undang akan ambil tempatnya ikut peraturan yang diamanahkan. Tanpa perlu sebutkan institusi ataupun organisasi yang kata rugi dan sebagainya, proses untuk mendapatkan pekerja asing kalau mereka perlu hendaklah dengan cara yang sah, itu mereka tiada pilihan," katanya selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Dari segi bilangan, daripada 84 itu lebih kurang 10 orang majikan telah melalui proses perundangan dan beberapa kes itu telah di bawa ke mahkamah dan telah dituduh malah telah ada sabitan pun.

“Ada dua jenis, menggajikan pendatang asing tanpa izin ataupun kalau mereka ini didapati mengeksploitasikan pekerja maka kita boleh tukarkan kes kepada undang-undang anti pemerdagangan orang dan juga kepada penyeludupan migrant,” katanya.

Jelasnya mereka yang disabitkan bukan sahaja boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau rotan malah aset mereka dibekukan.

Tambah Mustafar dalam operasi itu, jumlah PATI yang ditangkap ialah 3,874 orang daripada sejumlah 12,279 yang diperiksa.