NEW DELHI: Menteri Hal Ehwal Luar India V. Muraleedharan akan bertemu dengan masyarakat dan diaspora India semasa lawatan dua hari beliau ke Malaysia minggu ini.

Menteri itu akan menyertai perasmian Persons of Indian Origin (PIO) Day dan melancarkan Festival Antarabangsa PIO yang diadakan dari 2 hingga 4 Jun, menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar itu pada Isnin.

"Beliau akan berucap kepada masyarakat dan diaspora India di 'Pravasiya Bharatiya Utsav' (Festival India Luar Negara). Dengan 2.75 juta PIO, Malaysia adalah rumah kepada penduduk PIO kedua terbesar di dunia," menurut kementerian itu.

Kerajaan India mengeluarkan kad PIO kepada rakyat negara lain yang mempunyai keturunan India atau berkahwin dengan warga India.

Amerika Syarikat mempunyai 3.18 juta orang keturunan India, manakala Myanmar, Afrika Selatan dan Sri Lanka turut mempunyai komuniti PIO.

Malaysia mempunyai lebih 225,000 orang India bukan pemastautin (NRI).

Muraleedharan akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan bertemu Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar semasa lawatan itu.

Beliau akan menyampaikan ucaptama pada persidangan bertajuk "India-ASEAN Dynamics in the Emerging Indo-Pacific Order: Pathways to Cooperation beyond the Third Decade", anjuran Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur dengan kerjasama Centre for ASEAN Regionalism University Malaya (CARUM) dan Asia Europe Institute (AEI).

Beliau akan tiba di Malaysia pada 1 Jun selepas melawat Brunei Darussalam. - BERNAMA