PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi Digital akan memberi fokus membabitkan beberapa isu untuk ditangani  termasuk bentuk kandungan yang dimuat naik di semua platform media sosial.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, ia juga merangkumi isu keselamatan data, penyebaran berita palsu serta kandungan yang mempunyai unsur-unsur ekstrem di pelbagai platform media sosial di negara ini.

Beliau yang memulakan tugas hari pertamanya di Kementerian berkenaan turut berkata, pihaknya akan mengaturkan sesi pertemuan dan perbincangan dengan beberapa pengendali atau penyedia sosial media dalam masa terdekat.

"Saya percaya,  setelah saya adakan pertemuan dengan beberapa penyedia perkhidmatan media sosial termasuk TikTok selepas ini saya dapat faham sedikit sebanyak isu terutama dari segi kawal selia.

[TERKINI] Sidang Media Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil

"Saya harap semua pemain ataupun penyedia perkhidmatan prihatin dengan undang-undang kita dalam menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat." Katanya pada sidang media yang diadakan di sini hari ini.

Beliau juga mengesahkan bahawa satu sesi pertemuan dengan pihak TikTok Malaysia akan diadakan hari ini bagi tujuan berkenaan.

"TikTok, kita nampak sebaran contohnya mengenai video 13 Mei yang sangat merisaukan.

"Jadi, kita mulakan dengan TikTok, InsyaAllah kita akan berjumpa dengan yang lain dalam masa terdekat," katanya lagi.

Ujar Fahmi, pihaknya akan terus memastikan peranan media di negara ini berfungsi seperti yang sepatutnya dari sudut kebebasan yang seharusnya diamalkan.