Skip to main content

Bisnes

Perlis bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM362.62 juta

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah (kanan) membentangkan Belanjawan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis (Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Perlis ke-15) di Kompleks Seri Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah (kanan) membentangkan Belanjawan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis (Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Perlis ke-15) di Kompleks Seri Putra hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Perlis membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM362.62 juta, meliputi perbelanjaan mengurus RM257.13 juta dan pembangunan RM105.49 juta.
  • Peruntukan pembangunan diagih kepada enam agensi utama, dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menerima RM48.55 juta dan Jabatan Kerja Raya RM21.15 juta.
  • Kutipan hasil negeri dianggarkan RM223.54 juta, meningkat 2.74 peratus, namun kerajaan negeri dijangka mengalami defisit RM33.59 juta pada tahun depan.
Advertisement

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis hari ini membentangkan Belanjawan 2027 dengan peruntukan berjumlah RM362.62 juta melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM257.13 juta dan pembangunan berjumlah RM105.49 juta.

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata daripada jumlah anggaran perbelanjaan mengurus itu, sebanyak RM77.13 juta disediakan untuk bayaran emolumen manakala RM111.63 juta bagi menampung perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan.

“Sebanyak RM54.19 juta disediakan di bawah pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM11.73 juta untuk perolehan aset manakala perbelanjaan-perbelanjaan lain melibatkan RM2.45 juta,” katanya ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Perlis Progresif: Memacu Pertumbuhan, Menjana Kemakmuran” itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata daripada jumlah anggaran perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM16.86 juta dibiayai melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi tujuan projek peningkatan prasarana untuk kemudahan rakyat. 

Abu Bakar berkata peruntukan pembangunan bagi 2027 akan diagih kepada enam agensi pelaksana utama iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebanyak RM48.55 juta merangkumi Syarikat Air Perlis, Majlis Perbandaran Perlis, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis dan Majlis Sukan Negeri Perlis.

Advertisement

“Jabatan Kerja Raya sebanyak RM21.15 juta, Jabatan Pengairan dan Saliran (RM13.97 juta), Jabatan Perhutanan (RM13.35 juta), Jabatan Pertanian (RM5.93 juta) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM2.54 juta),” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM223.54 juta akan dikutip pada tahun depan merangkumi hasil cukai sebanyak RM39.65 juta, hasil bukan cukai (RM37.13 juta) dan terimaan bukan hasil (RM146.76 juta).

Abu Bakar berkata berdasarkan anggaran itu, kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak RM5.96 juta atau 2.74 peratus berbanding tahun ini dengan kerajaan negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM33.59 juta pada tahun depan.

Belanjawan Perlis 2027 mempunyai sembilan teras strategik iaitu Teras Pertama: Ekonomi Makmur dan Berdaya Saing, Teras Dua: Kesejahteraan Rakyat dan Kualiti Hidup, Teras Tiga: Modal Insan dan Bakat Masa Hadapan, Teras Empat: Tadbir Urus Bestari dan Penyampaian Cekap.

Teras Lima: Kelestarian dan Berdaya Tahan, Teras Enam: Transformasi Perlis Pintar dan Digital, Teras Tujuh: Pelancongan Perlis, Teras Lapan: Negeri Berkebajikan serta Teras Sembilan: Negeri Mesra Pelabur dan Perniagaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement