Skip to main content

Malaysia

Gangguan elektrik jejas empat LRA, Sandakan berdepan catuan air

Walter Kenson (foto) berkata LRA itu ialah LRA Segaliud, LRA Kinabatangan, LRA Sibuga dan LRA Hilltop, manakala catuan air dijangka berlanjutan selama beberapa hari. -Foto Facebook
Walter Kenson (foto) berkata LRA itu ialah LRA Segaliud, LRA Kinabatangan, LRA Sibuga dan LRA Hilltop, manakala catuan air dijangka berlanjutan selama beberapa hari. -Foto Facebook

Ringkasan AI

  • Gangguan bekalan elektrik menjejaskan operasi empat loji rawatan air utama di Sandakan, menyebabkan catuan air di beberapa kawasan akibat kapasiti terhad.
  • Sabah Electricity Sdn Bhd sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik, namun catuan dijangka berlanjutan beberapa hari sehingga kapasiti pulih sepenuhnya.
  • Penduduk dinasihatkan berjimat cermat menggunakan air dan elektrik serta merujuk saluran rasmi untuk maklumat terkini dan bantuan.
Advertisement

SANDAKAN: Gangguan dan ketidakstabilan bekalan elektrik menjejaskan operasi empat loji rawatan air (LRA) utama di Sandakan, sekali gus menyebabkan bekalan air di beberapa kawasan dicatu susulan kapasiti pengeluaran dan simpanan yang terhad.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan Datuk Walter Kenson berkata LRA itu ialah LRA Segaliud, LRA Kinabatangan, LRA Sibuga dan LRA Hilltop, manakala catuan air dijangka berlanjutan selama beberapa hari.

“Penduduk dinasihatkan supaya berjimat menggunakan air, menyimpan air di dalam bekas bersih dan bertutup apabila bekalan pulih, menggunakan elektrik secara berhemat serta mencabut palam peralatan sensitif atau tidak digunakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisement

Beliau berkata pihaknya akan terus berhubung rapat dengan Sabah Electricity Sdn Bhd dan Jabatan Air Negeri Sabah di sini bagi memantau pemulihan serta mengenal pasti keperluan bantuan demi meminimumkan impak kepada penduduk.

Walter berkata Sabah Electricity Sandakan berusaha memulihkan bekalan elektrik melalui stesen jana kuasa tempatan di Libaran, Batu Sapi, Labuk, Seguntor dan Mowtas, namun kapasitinya terhad dan tidak mampu menampung keseluruhan permintaan sehingga catuan elektrik tidak dapat dielakkan.

Advertisement

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) itu turut memohon maaf bagi pihak JPBD Sandakan atas segala kesulitan dan ketidakselesaan yang dialami penduduk.

"Saya amat memahami kesan yang dihadapi oleh masyarakat, khususnya golongan warga emas, kanak-kanak, pelajar sekolah, pesakit serta peniaga yang bergantung kepada bekalan elektrik dan air dalam urusan kehidupan seharian mereka," katanya.

Beliau turut menyuarakan simpati kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya terus bersabar, bertenang serta mencari alternatif terbaik, sambil menyeru ibu bapa dan masyarakat memberikan sokongan.

Walter turut meminta penduduk mengutamakan golongan memerlukan, mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih serta merujuk saluran rasmi Sabah Electricity, Jabatan Air Negeri Sabah dan JPBD Sandakan.

Kejadian pada 6.04 pagi semalam itu memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar. Sabah Electricity menyasarkan memulihkan bekalan elektrik itu pada 2 Dis ini atau lebih awal.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515 000 serta WhatsApp 019-852 5427.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement