Skip to main content

Dunia

Platform awan utama Tentera Udara AS digodam

Pencerobohan berkenaan dikesan kira-kira sebulan lalu ketika kerja menaik taraf sistem sedang dijalankan, sekali gus menyebabkan gangguan terhadap operasi platform tersebut. -Gambar fail/AP
Pencerobohan berkenaan dikesan kira-kira sebulan lalu ketika kerja menaik taraf sistem sedang dijalankan, sekali gus menyebabkan gangguan terhadap operasi platform tersebut. -Gambar fail/AP

Ringkasan AI

  • Platform pengkomputeran awan Tentera Udara AS, Cloud One, diceroboh penggodam ketika kerja naik taraf sistem, menjejaskan operasi dan data sensitif.
  • Identiti penggodam dan tahap sebenar pencerobohan masih belum dikenal pasti, namun siasatan melibatkan bantuan Cyber Command sedang dijalankan.
  • Insiden ini menyebabkan pemindahan aplikasi ke Cloud One ditangguhkan, kemas kini aplikasi disekat, dan akses pentadbir dibatalkan bagi sebahagian pengguna.
Advertisement

WASHINGTON: Penggodam dilapor berjaya menceroboh platform pengkomputeran awan utama milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), Cloud One, dalam satu insiden yang berpotensi menjejaskan data taktikal, maklumat kakitangan serta logistik sensitif.

Menurut tiga sumber yang mengetahui perkara itu, pencerobohan berkenaan dikesan kira-kira sebulan lalu ketika kerja menaik taraf sistem sedang dijalankan, sekali gus menyebabkan gangguan terhadap operasi platform tersebut.

Bagaimanapun, identiti kumpulan penggodam, tahap sebenar pencerobohan serta sama ada sebarang data telah dicuri masih belum dapat dipastikan.

Advertisement

Dalam kenyataan kepada Reuters, Tentera Udara AS berkata pihaknya tidak mengulas mengenai tahap keselamatan, kelemahan atau status operasi mana-mana rangkaian dan sistem khusus.

Namun, ia menegaskan langkah berjaga-jaga sentiasa diambil bagi melindungi maklumat serta keupayaan misinya.

Advertisement

Dilancarkan pada 2017, Cloud One berfungsi sebagai pusat sehenti bagi keperluan teknologi maklumat Tentera Udara AS dengan menggabungkan perkhidmatan daripada empat penyedia utama iaitu Microsoft, Amazon, Oracle dan Alphabet.

Platform itu menyokong puluhan aplikasi kritikal termasuk sistem Kawalan dan Perintah Berasaskan Awan yang menghimpunkan data radar pertahanan udara di seluruh Amerika Utara, selain sistem yang menjejaki bom dan peluru berpandu di lebih 200 lokasi Tentera Udara AS di seluruh dunia.

Susulan penemuan pencerobohan tersebut, pasukan penyiasat dilaporkan mendapatkan bantuan Cyber Command, unit siber tentera AS, untuk menilai tahap kerosakan yang mungkin berlaku.

Insiden itu turut menyebabkan usaha memindahkan aplikasi sokongan ke dalam Cloud One ditangguhkan sementara, selain menyekat kemas kini aplikasi sedia ada dan membatalkan akses pentadbir bagi sebahagian pengguna.

Menurut salah satu sumber, penceroboh mengeksploitasi kelemahan perisian untuk mendapatkan akses kepada satah kawalan (control plane) sistem, iaitu pusat pengurusan utama platform berkenaan.

Secara teorinya, akses sedemikian boleh membolehkan pihak tidak bertanggungjawab menyemak maklumat berkaitan status operasi pesawat tentera atau pergerakan alat ganti.

Perkembangan itu berlaku ketika kebimbangan terhadap ancaman serangan siber yang semakin canggih terus meningkat, khususnya yang melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Dalam tempoh kebelakangan ini, kerajaan AS turut berdepan beberapa insiden keselamatan siber yang dilaporkan melibatkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Pentagon, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, agensi perisikan serta Jabatan Perbendaharaan.

Must Watch Video

Advertisement