PASIR PUTEH: Dua lelaki yang menyamar sebagai pelanggan bertindak melarikan dua buah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM5,718 dalam kejadian di sebuah premis alat telekomunikasi di sini pada Isnin.

Difahamkan kedua-dua suspek masuk ke premis berkenaan untuk membaiki telefon bimbit sebelum bertindak melarikan barangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pada jam 5.45 petang pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

"Siasatan awal mendapati dua lelaki telah memasuki kedai berkenaan bertujuan untuk membaiki telefon bimbit yang rosak.

"Setelah dimaklumkan telefon tersebut tidak dapat dibaiki, salah seorang suspek telah meminta untuk melihat dua telefon bimbit di rak pameran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, pekerja premis terbabit telah mengeluarkannya dan menyerahkan kepada suspek untuk dilihat.

Ujarnya, kedua-dua suspek kemudian terus mengambil telefon bimbit terbabit dan melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru.

Zaizul Rizal memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit diminta menghubungi Inspektor Muhammad Nabil Aizat Rusdy ditalian 013-6232713/09-7867222. -Sinar Harian