Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Mesyuarat pertama JSCMC pada 2 November di Singapura - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah menerima kunjungan Gan di pejabatnya di Kementerian Ekonomi, pada Khamis. - Foto Facebook/Akmal Nasir
Akmal Nasrullah menerima kunjungan Gan di pejabatnya di Kementerian Ekonomi, pada Khamis. - Foto Facebook/Akmal Nasir

Advertisement

PUTRAJAYA: Mesyuarat pertama Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) akan diadakan di Singapura pada 2 November ini sebagai persediaan sebelum Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dilancarkan secara rasmi pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-13 pada 4 dan 5 Disember ini.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong di pejabatnya di Kementerian Ekonomi, di sini semalam.

"Perbincangan kami berlangsung dalam suasana yang cukup positif, memfokuskan kepada usaha merancakkan lagi kerjasama ekonomi Malaysia-Singapura. 

"Topik utama sudah semestinya kelancaran pelaksanaan JS-SEZ dan inisiatif Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) rentas sempadan," katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya.

Beliau berkata potensi JS-SEZ sangat besar, dengan lebih lebih S$5.5 bilion (RM17.97 bilion) komitmen pelaburan direkodkan daripada syarikat berpangkalan di Singapura setakat Oktober 2025.

"Kini, fokus kita terarah kepada fasa pelaksanaan seterusnya. Sudah pasti selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap inisiatif JS-SEZ, matlamatnya juga adalah untuk memastikan limpahan inisiatif ini dirasai oleh orang Johor dan Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Bagi inisiatif CCS pula, Akmal Nasrullah berkata kedua-dua negara menyasarkan untuk memeterai perjanjian dua hala pada suku keempat tahun ini yang menjadi satu langkah strategik ke arah pembangunan rantaian nilai hijau serantau.

"Bagi saya, kerjasama erat yang kita bina ini bukan sekadar angka pelaburan di atas kertas. Matlamat akhirnya adalah untuk menterjemahkan hubungan ini kepada penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti, peningkatan kemahiran dan pertumbuhan ekonomi yang mampan demi manfaat rakyat," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Gan dan delegasi Singapura atas perbincangan yang produktif itu.

Gan pada Khamis melakukan lawatan kerja sehari ke Malaysia, dengan agenda utama memperkukuh hubungan ekonomi dan daya tahan rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

Pada lawatan itu, Gan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta menghadiri majlis makan tengah hari perniagaan dengan Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura di Kuala Lumpur.

Beliau turut mempengerusikan bersama-sama Dialog Menteri Tahunan (AMD) Ketiga antara MITI dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura serta bertemu Akmal Nasrullah di Putrajaya.

Gan dan delegasi berlepas pulang ke Singapura pada 6.35 petang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement