Mesyuarat SPR berlangsung bincang urusan PRK Kinabatangan, DUN Lamag

Mesyuarat khas bagi membincangkan urusan berkaitan PRK DUN Lamag dan PRK Kinabatangan bermula jam 10 pagi ini dengan dipengerusikan oleh Ramlan (kiri), di ibu pejabat SPR, Putrajaya. Turut kelihatan, Azmi (kanan). --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan urusan dan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah sedang berlangsung di Menara SPR di sini.
Mesyuarat dipengerusikan Datuk Seri Ramlan Harun itu bermula pada 10 pagi, antaranya bagi menentukan tarikh tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom dan Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus.
SPR akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Pada 9 Dis, Khairul Shahril memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berhubung kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas.
Khairul Shahril berkata selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital di Sabah pada 1.46 pagi, 5 Dis, kurang seminggu selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag untuk penggal kedua.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 Nov lepas, Allahyarham yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Di peringkat politik nasional, Bung Moktar memulakan kerjaya sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada November 1999 dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


