KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mengesahkan bahawa penerbangannya, MH160 dari Kuala Lumpur ke Doha (KUL–DOH) dan MH156 dari Kuala Lumpur ke Jeddah (KUL–JED) pada 27 Feb 2026, telah berpatah balik ke Kuala Lumpur dan dilencongkan ke Chennai.
Menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini, tindakan itu diambil susulan makluman semasa penerbangan mengenai peningkatan risiko ruang udara dan dilaksanakan selaras dengan protokol lencongan kawasan konflik yang telah ditetapkan.
Advertisement
Kedua-dua penerbangan itu kini telah selamat kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL).
“Penumpang yang terjejas diberikan bantuan dengan mengatur penerbangan alternatif dan penginapan hotel, jika perlu,” katanya.
Menurut syarikat penerbangan itu, situasi berkenaan terus dipantau rapi dan semua langkah yang diperlukan akan diambil untuk memastikan operasi selamat dan dipercayai.
Katanya keselamatan penumpang dan kru penerbangan terus menjadi keutamaan.
-- BERNAMA