Jerman bersedia menghulurkan bantuan kepada Malaysia bagi menangani insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada Khamis.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata, hasrat untuk membantu itu dinyatakan Canselor Jerman Angela Merkel menerusi telefon pada Rabu.

"Dalam perbualan itu, Merkel mengucapkan takziah kepada Malaysia ekoran tragedi MH17 dan menyatakan kesediaan Jerman membantu Malaysia.

"Merkel turut merakamkan penghargaan kepada usaha yang dilakukan Malaysia bagi menangani insiden berkenaan," katanya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 44 warga Malaysia dan empat warga Jerman sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Pada Selasa, Duta Rusia ke Malaysia, Lyudmila Vorobyeva menyatakan penghargaan dengan pendirian Malaysia yang bersikap neutral tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung nahas pesawat Malaysia Airlines MH17.

Katanya, adalah tidak adil untuk menyalahkan sesiapa seperti sesetengah pihak lain tanpa sebarang bukti kukuh.

Ujarnya, Rusia juga sedia bekerjasama dengan apa cara yang sekalipun untuk membantu siasatan ke atas insiden MH17 terhempas di timur Ukraine.

Turut menghubungi Najib sebelum ini ialah Perdana Menteri Australia Tony Abbott, Perdana Menteri New Zealand John Key dan Perdana Menteri Britain David Cameron.