Beberapa syarikat penerbangan Eropah hari ini mengelak daripada menggunakan laluan udara melintasi Ukraine selepas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 disahkan terhempas berhampiran negara itu.

Di Perancis, Menteri Pengangkutan Kedua Frederic Cuvillier memberitahu kepada AFP bahawa beliau telah memberitahu kepada syarikat penerbangan Perancis untuk mengelak daripada menggunakan ruang udara Ukraine selagi punca nahas MH17 tidak diketahui.

Pesawat MH17 dilaporkan hilang daripada radar pada kira-kira 1415 GMT ketika sedang terbang melintasi ruang udara timur Ukraine dengan membawa 298 penumpang.

Presiden Ukraine Petro Poroshenko bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pesawat terbabit ditembak jatuh dan menyifatkan insiden itu sebagai aktiviti pengganas.

Beberapa syarikat penerbangan kemudian dengan serta-merta mengumumkan rancangan untuk mengalihkan laluan pesawat-pesawat mereka dari kawasan tersebut.

Air France berkata, ia telah mengambil keputusan untuk tidak menggunakan laluan udara melintasi Ukraine setelah menerima berita nahas.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa pula memberitahu AFP bahawa mereka telah mengambil keputusan untuk melencongkan pesawat daripada laluan terbabit dan menambah bahawa keselamatan penumpang adalah keutamaan mereka.

Beliau turut menambah setakat ini, tiada sebarang arahan diterima untuk mengelakkan laluan itu.

Di London, jurucakap Jabatan Pengangkutan Britain memberitahu AFP: “Pesawat yang sedang dalam penerbangan telah dilencongkan dari laluan oleh pusat kawalan udara di wilayah tersebut.”

British Airways dalam kenyataannya berkata: “Pesawat kami tidak menggunakan ruang udara Ukraine, dengan pengecualian penerbangan sekali sehari kami antara Heathrow dan Kiev,” di mana ia menggunakan laluan yang berada ratusan kilometer ke barat kawasan nahas.

April lalu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengumumkan kawasan bergolak semenanjung Crimea yang berada di selatan lokasi nahas ialah zon larangan penerbangan bagi pesawat dan juruterbang Amerika Syarikat.

Larangan yang sama juga telah dikeluarkan pada April oleh Pertubuhan Keselamatan Penerbangan Udara Eropah, Eurocontrol.

Sebelum ini, seorang eksekutif di laman web pengesan penerbangan FlightAware pada Khamis berkata: “Kami melihat banyak penerbangan melintasi ruang udara Ukraine, tetapi kesemuanya berada di laluan samada utara atau barat dari kawasan larangan FAA/Eurocontrol.”

Namun, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UK, “Eurocontrol telah mengeluarkan peringatan kepada syarikat penerbangan untuk memeta laluan yang tidak melintasi kawasan tersebut” di mana lokasi MH17 terhempas.

Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur setelah hubungan pada 1415 (GMT) atau 10.15 malam waktu Malaysia.

Menurut kenyataan Twitter MAS, kedudukan terakhir pesawat Boeing 777 itu dikesan berada di ruang udara Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari Khamis dan dijangka tiba di KLIA pada 6.10 petang Jumaat, waktu Malaysia.