Pengarah Institut Oseanografi & Pengajian Maritim UiAM, Prof Madya Dr Mohamed Kamil Abd Rashid berkata fasa pencarian pesawat MH370 yang seterusnya mempunyai cabarannya yang tersendiri kerana permukaan dasar laut yang tidak sama dengan permukaan daratan.

Tambahan pula, misi pencarian di Lautan Hindi merupakan satu pencarian yang sukar kerana lautan tersebut jarang diterokai.

Pencarian pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu hari ini masuk hari ke 39 dimana Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah mengerahkan kenderaan dasar laut AUV Bluefin-21 dari kapal Australia Ocean Shield, pada malam Isnin.

Mohamed Kamil menjelaskan mengenai bunyi isyarat ping yang dikesan oleh kapal Ocean Shield.

“Bunyi yang berasal dari lautan tidak sama dengan bunyi dari daratan, yang mana bunyi-bunyian boleh didengar terus.

“Bunyi yang dihasilkan dari lautan akan dipesongkan oleh ciri-ciri air seperti suhu air dan tahap kemasinan yang boleh menyebabkan laluan bunyi berubah, itu yang perlu diambilkira” terangnya lagi.




Mohamed Kamil berkata demikian ketika menjadi ahli panel di dalam program diskusi Agenda AWANI, pada Isnin.

Di program yang sama, Timbalan Dekan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Prof. Madya Dr. Mohd Rizal Arshad mengulas lanjut mengenai fungsi kenderaan dasar laut AUV Bluefin – 21.

“Bluefin-21 mempunyai tiga sistem pencerap sonar yang berfungsi untuk mendapatkan kecerapan dasar laut yang lebih tepat, mempelbagaikan frekuensi dan mengesan sesuatu di kawasan yang sukar” jelas Mohd Rizal.

Ketiga-tiga pencerap sonar ini akan membolehkan pasukan pencari mengesan serpihan-serpihan termasuk serpihan yang terperangkap di dalam lumpur.



Mohd Rizal juga memaklumkan mengenai kenderaan AUV Bluefin-21 yang boleh digunakan selama 24 jam iaitu dua jam untuk turun ke dasar dan dua jam untuk naik ke permukaan, manakala selebihnya digunakan untuk mencari.

Kenderaan AUV bergerak sangat perlahan iaitu di kelajuan 4.5 knot atau 8.3 kmj , ini kerana ia bertujuan untuk memeta keluasan dasar laut dengan tepat.

Mohd Rizal turut mencadangkan sekiranya ada bantuan dari kenderaan AUV lain ia akan menjadikan misi pencarian lebih pantas.

“Sebenarnya ramai pihak yang mempunyai kenderaan AUV yang boleh pergi lebih dari 4500 meter, pihak JACC sekarang hanya menggunakan sebuah AUV sahaja untuk memeta satu kawasan yang sangat luas, sekiranya ramai yang menghulurkan bantuan ia mungkin dapat memendekkan usaha pencarian” katanya di hujung diskusi.




Untuk perbincangan penuh klik di sini.