Usah menambah tekanan kepada saudara mara penumpang dan anak kapal pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Itu nasihat Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr NKS Tharmaseelan.

Beliau berkata ini kerana tekanan berterusan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes, murung, gangguan ketenangan dan penyakit lain.

"Waris berada dalam keadaan trauma berikutan apa yang berlaku dan kerisauan serta stres mereka semakin bertambah berikutan keadaan tidak menentu tentang nasib MH370. Mereka menjadi dan kelihatan gelisah, berangin, lekas marah, mudah naik darah dan umumnya, sedih,” katanya dalam satu kenyataan.

Tharmaseelan berkata oleh kerana itu, semua pihak mesti mengelakkan spekulasi dan jangan mengelirukan mereka lagi.

"Memandangkan MH370 adalah satu peristiwa misteri mendebarkan yang belum pernah disaksikan atau ditangani dunia, maka sebagai manusia, kita perlu mengelak daripada terdorong untuk mencari kesalahan dan bukannya memberi jawapan. Sama-samalah kita fokus untuk mencari MH370, bukan menyebabkan setiap orang dilanda stres," katanya.

Beliau berkata negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan China sedang ‘membuli’ Malaysia untuk mencari ‘jawapan’ sedangkan mereka pun tiada jawapan.

“Kita harus menyokong negara dan pemimpin-pemimpin negara yang cuba untuk menyelesaikan misteri ini dengan sumber yang ada.

“Semasa peristiwa 9/11 terjadi, rakyat Amerika Syarikat bersatu padu. Ia adalah kebanggaan negara yang menyatukan semua rakyat Amerika.

“Mereka tidak menyalahkan kerajaan,” katanya.

Beliau juga berpendapat MAS serta Kementerian Kesihatan perlu diberi pujian kerana menghantar pasukan pemberi penjagaan dan sukarelawan untuk memberi bantuan, penjagaan perubatan dan kaunseling kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal terbabit.

Pesawat Boeing 777-200ER ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi 8 Mac. Ia dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari, yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.