MIC akan meletakkan calon-calonnya di sembilan kawasan Parlimen dan 18 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 yang ditetapkan 5 Mei ini.

Presidennya Datuk Seri G.Palanivel berkata daripada 27 calon itu, 14 daripadanya atau lebih daripada 50 peratus adalah muka baharu.

Beliau berkata kesemua calon dipilih parti berdasarkan beberapa kriteria seperti kedudukan dalam parti, khidmat yang diberikan dan latar belakang pendidikan.

Calon-calon Pemuda dan Wanita masing-masing akan bertanding di tiga dan satu kerusi, kata Palanivel semasa mengumumkan calon-calon di Ibu pejabat MIC di sini hari ini.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) memperuntukkan MIC dengan kerusi-kerusi parlimen yang sama ditandingi parti itu pada pilihan raya umum 2008 dengan sedikit perubahan dalam peruntukan kerusi dewan undangan negeri.

"Kami telah menukar enam kerusi dewan negeri bagi lima kerusi negeri yang baharu dan seorang senator. Kerusi negeri yang baharu adalah Ijok di Selangor, Buntong dan Jelapang di Perak, Gadek di Melaka dan Puteri Wangsa di Johor.

"Kami menukar kerusi-kerusi itu dengan parti-parti komponen BN yang lain untuk penyelesaian yang adil. Semua kerusi yang ditukar boleh menang," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, MIC bertanding di sembilan kawasan Parlimen dan 19 kerusi DUN.
Kerusi-kerusi MIC yang ditukar adalah Pasir Panjang, Sungkai dan Behrang di Perak, Bukit Melawati di Selangor, Asahan di Melaka dan Permas di Johor.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata MIC yakin dapat menguasai semula sembilan kerusi Parlimen dan 16 daripada 18 DUN yang ditandingi.

"Saya amat yakin MIC akan mendapat semula kekuatannya, memandangkan kami bekerja keras di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak. Saya yakin MIC akan menang," kata Palanivel.

Beliau berkata BN akan dapat memenangi Selangor, Perak dan Kedah pada pilihan raya umum ini, hasil kerja keras Najib dan BN, secara keseluruhannya.