MICROSOFT Windows 12 merupakan sistem operasi generasi akan datang yang dijangka diperkenalkan oleh gergasi perkomputeran berkenaan seawal tahun hadapan, 2024.

Kini, selari dengannya, beberapa info awal berkenaan perancangan Microsoft untuk sistem operasi berkenaan kini hadir ke arena web.

Melalui WindowsCentral, ia dikatakan Microsoft ingin cuba memodenkan lagi sistem operasi dengan memfokuskan kepada sistem operasi berbentuk modular dan lebih ringan berbanding sedia ada.

Dengan langkah ini, Windows 12 dijangka akan menjadi lebih ringan, mudah untuk memasang kemas kini, sekali gus menjadikan ia lebih selamat berbanding pada hari ini.


Windows 11

Dikenali dengan nama kod “CorePC” secara dalaman di Microsoft, ia dikatakan akan membolehkan sistem operasi disesuaikan berdasarkan keperluan - dan tidak semua fail dipasang pada satu bahagian atau partition. Sebaliknya, pelbagai fail akan dipasang pada bahagian berbeza - menjadikan ia salah satu teras untuk memudahkan kemaskini lebih pantas dan mudah.

Dengan langkah ini juga, Microsoft dijangka akan dapat memposisikan Windows sebagai pesaing Chromebook yang lebih baik.

Disamping itu, dengan fokus Microsoft terhadap kecerdasan buatan, sistem operasi akan datang turut dijangka mengintegrasikan sejumlah ciri-ciri memfokuskan kecerdasan buatan bersama dengannya. Ini sekaligus akan memudahkan kandungan diimbas dan dioptimasikan untuk penyuntingan, disamping membenarkan pengguna memberikan arahan berbentuk teks untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.

Dengan perkembangan terbaru ini, sama-sama kita nantikan lanjut berkenaan Windows 12 yang dijangka diperkenalkan seawal 2024 kelak.