Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini membenarkan permohonan untuk memindahkan kes memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang dihadapi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), S. Chandru, 38, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat Hakim Ahmad Sazali Omar selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Melvin Tay membantah permohonan yang dibuat pihak pendakwaraya dan memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Melaka memandangkan tertuduh turut mempunyai satu lagi pertuduhan yang akan dibicarakan di mahkamah berkenaan pada esok.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias bagaimanapun membalas hujahan peguam bela dengan menegaskan permohonan memindahkan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.


Hujahnya, mana-mana kesalahan melibatkan keganasan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sememangnya perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Ahmad Sazali kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan sebelum tarikh sebutan diputuskan kemudian.

29 Oktober lalu Chandru dihadapkan me mahkamah sama dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan atas pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE, di telefon bimbitnya.

Tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Taman Ayer Keroh Heights sekitar 8.30 malam hingga 10.50 malam 28 November lalu.

Untuk rekod, Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Elesabet Paya Wan pada Rabu minggu lalu menetapkan esok bagi mendengar permohonan membenarkan ikat jamin terhadapnya serta dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu itu masing-masing ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaren, 60, dan Adun Gadek G. Saminathan, 34.