Polis masih menunggu laporan rasmi berhubung kematian dua pengebom bunuh diri kumpulan militan Daish warga tempatan yang dipercayai membunuh lebih 30 orang dalam dua serangan berasingan di Syria dan Iraq minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya menunggu laporan rasmi daripada rakan setugas di negara berkenaan.

“Kita menunggu laporan rasmi dahulu. Mereka dikatakan rakyat Malaysia tapi kita belum begitu pasti lagi, jadi kita perlu tunggu dulu laporan rasmi dengan bukti sebelum kita beri apa-apa ulasan. Kita risau jika ada pihak menggunakan identiti warga Malaysia,” ujar beliau.

Khalid berkata demikian selepas majlis perhimpunan bulanan peringkat jabatan di Bukit Aman siang tadi.

Dalam laporan akhbar New Straits Times (NST) semalam, Mohd Amirul Ahmad Rahim, dari Terengganu didakwa meletupkan bom yang diletak di dalam keretanya ketika pertelagahan di kubu kuat Daish, Raqqa, pada 29 Disember.

Tindakan itu menyebabkan 21 pejuang Kurdi terkorban manakala seorang lagi rakyat Malaysia, Mohamad Syazwan Salim, didakwa meletupkan jaket yang dipadatkan dengan bom bersama beberapa pengebom bunuh diri berdekatan pusat latihan polis di Pangkalan Tentera Speicher di Tikrit, Iraq, 3 Januari lalu.

BACA: Najib terkejut dua rakyat Malaysia terlibat dalam serangan bom berani mati

Kejadian itu menyebabkan 12 anggota polis terbunuh dan mencederakan 20 orang awam.

Mengikut laporan NST yang memetik sumber, Amirul dikatakan meninggalkan keluarganya untuk menyertai Daish di Syria pada Oktober 2014 dan menggunakan nama Abu Uqashah Malizi.

Syazwan meninggalkan kampungnya di Selangor bersama adiknya, Muhamad Shazani, 28, untuk menyertai Daish pada September 2014.

Dikenali sebagai Abu Aydan, dia pada awalnya dilaporkan bekerja sebagai pencuci sebelum direkrut sebagai penembak hendap dan pengebom bunuh diri.

Beliau terbunuh dalam misi bunuh diri pada 18 September tahun lalu di Bayji, utara Iraq, ketika pertempuran dengan angkatan Iraq.

Laporan NST menyebut, dua beradik itu dilatih di Penjara Khatibah Nusantara di Syria bagi misi mereka.

Berikutan kejadian itu, seramai 17 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan Daish terbunuh setakat ini dengan enam daripadanya adalah pengebom bunuh diri manakala bakinya terkorban dalam peperangan.