KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat Global Exhibitions & Conferences Sdn Bhd (GEC) bagi mempromosikan acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA 2027) semalam.
Kenyataan MINDEF memaklumkan SST itu diserahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali kepada Ketua Pengarah Eksekutif GEC Abd Hafiz A. Bakar.
Advertisement
Penyerahan itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas pelancaran Pavilion Kementerian Pertahanan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini pada Isnin.
MINDEF memaklumkan bahawa ia akan bersama dengan GEC menganjurkan LIMA 2027 edisi ke-18 dengan tema Sustainable Vision Across Sea, Sky & Space.
“Sama seperti penganjuran sebelumnya, segmen aeroangkasa akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) manakala segmen maritim di Resorts World Langkawi (RWL) bermula 20 hingga 24 April 2027,” menurut kenyataan itu.
Menurut MINDEF, inisiatif Road to LIMA 2027 menandakan satu pencapaian strategik dalam membina momentum ke arah LIMA 2027 yang merupakan pameran maritim dan aeroangkasa tersohor serta antara paling berpengaruh di peringkat global.
Selain itu, ia bakal menjadi platform interaksi antara para delegasi antarabangsa, pemain industri dan komuniti pertahanan yang hadir pada Pameran DSA & NATSEC Asia 2026.
Pada masa sama, ia turut memanfaatkan kehadiran tetamu dan delegasi bagi merangsang penglibatan awal, memperkukuh kerjasama serta meningkatkan penyertaan di samping mengemas kini maklumat terkini berkaitan LIMA 2027.
DSA dan NATSEC Asia 2026, yang membuka tirai semalam, dijangka terus menjadi tumpuan pemain industri pertahanan global dan delegasi antarabangsa sepanjang empat hari penganjurannya.
-- BERNAMA