BAYAN LEPAS: Tindakan licik sindiket perjudian yang menjadikan sebuah kondominum mewah di Bayan Lepas, Pulau Pinang sebagai ‘mini kasino’ terbongkar selepas 13 individu ditahan dalam serbuan pada Rabu.

Dalam serbuan pukul 3.45 petang itu, sembilan wanita dan empat lelaki berusia di antara 31 hingga 69 tahun dipercayai penganjur dan pemain yang sedang leka berjudi ditahan.

Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari bahagian judi, maksiat dan kongsi gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah negeri dalam Op Dadu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra'ais berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaaan menyewa kondominum tersebut sejak pertengahan September lepas.

Menurut beliau, aktiviti perjudian itu dijalankan di kediaman tersebut sekitar pukul 12 tengah hari hingga 8 malam setiap hari.

“Sindiket ini dipercayai menawarkan aktiviti perjudian kepada kenalan rapat sahaja bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa .

“Siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai meraih keuntungan sehingga RM100,000 sepanjang tempoh beroperasi,” kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.



Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM13,200 serta peralatan bermain judi antaranya keping cip pelbagai warna, monitor komputer, kotak pek daun terup, meja dan kerusi plastik serta alat tulis.

Rahimi berkata, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, sek 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen  6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sabit kesalahan boleh dihukum dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih daripada tiga tahun.