Skip to main content

Malaysia

MIRM cadang program latihan bagi melindungi warga emas daripada penipuan

61587082322_orangtua.jpg
Navaneetha turut mencadangkan agar lebih banyak peruntukan diberikan bagi program kesedaran warga emas untuk menghalang mereka daripada diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud yang boleh merampas simpanan sepanjang hayat mereka. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Pengurusan Persaraan Malaysia (MIRM) mencadangkan kerajaan menambah peruntukan sebanyak 10 peratus kepada dana latihan sedia ada bagi komuniti warga emas yang kembali bekerja menerusi Belanjawan 2027.

Presiden MIRM Prof Dr Navaneetha Sagaya Balan dalam kenyataan hari ini berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi Dana Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta kementerian berkaitan.

Beliau berkata program peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan fleksibel untuk pesara yang ingin terus menyumbang kepada ekonomi akan menyediakan insentif kepada syarikat yang menggaji warga emas dalam sektor bersesuaian.

Navaneetha turut mencadangkan agar lebih banyak peruntukan diberikan bagi program kesedaran warga emas untuk menghalang mereka daripada diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud yang boleh merampas simpanan sepanjang hayat mereka.

“Institusi koperasi membantu dan memberikan nasihat mengenai pengurusan persaraan serta aktiviti pembangunan sosial, dengan menyediakan sumber dan sokongan yang diperlukan oleh pesara Malaysia untuk membuat persediaan dari segi fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kewangan.

“Kerajaan boleh membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong program bagi populasi menua untuk membantu warga emas, bagi mengurangkan kejadian penipuan terhadap mereka menerusi peningkatan tahap kesedaran,” katanya.

Beliau berkata pendidikan kewangan untuk pesara, termasuk pengurusan dana persaraan dan pelaburan beretika akan melindungi golongan warga emas daripada menjadi mangsa penipuan kewangan serta menyokong keselamatan digital bagi golongan itu.

MIRM, sebuah badan profesional bukan berasaskan keuntungan yang diasaskan oleh Koperasi Pesara Pesara Malaysia Berhad (KPPMB) menyatakan bahawa satu kajian perlu dijalankan mengenai kebolehgunaan kemudahan dan infrastruktur swasta, khususnya di kawasan metropolitan.

“MIRM menyokong peruntukan belanjawan bagi kajian sedemikian oleh institut atau organisasi berkaitan mengenai keperluan pembangunan komuniti mesra warga emas dengan akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan, rekreasi dan sosial.

“Kami berbesar hati untuk menyertai sesi libat urus dan menyumbang kepada Belanjawan 2027,” katanya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement