KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia bakal berkumpul di Istanbul, Turki pada 18 April ini (Khamis) untuk terlibat dalam persiapan akhir sempena misi Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla.

Mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini bersatu di bawah gerakan Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Menurut Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, objektif penubuhan FFC pada tahun 2010 adalah untuk memecah kepungan di Gaza yang berada di bawah kepungan Israel selama lebih 17 tahun.

“Tiga buah kapal akan belayar pada April 2024, terdiri daripada satu kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

“Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu ujarnya, FFC telah menerima 11,000 permohonan terdiri lebih daripada 30 buah negara dan seramai 1,000 peserta telah dipilih termasuk 20 orang daripada Malaysia terdiri daripada pengamal media, doktor dan aktivis kemanusiaan.

“Misi bantuan kemanusiaan ini adalah gerakan akar umbi dan multinasional untuk mencabar sekatan haram Israel ke atas wilayah Gaza.

“Antara lain, misi ini bagi memberi kesedaran dan semangat kebersamaan masyarakat antarabangsa dengan saudara-saudara kita di Gaza,” tambahnya.

Antara NGO Antarabangsa yang terlibat ialah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Insani Yardim Vakfi (IHH), Ship to Gaza Norway, Rumbo A Gaza, US Ship to Gaza, Sweeden ship to Gaza, Canadia boat to Gaza, Freedom Flotilla Italia, Kia Ora to Gaza, Palestine Solidarity Alliance, Mavi Marmara Freedom and Solidarity Association, Miles of Smiles, Free Gaza Australia.