KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan yang menyertai Misi Pengembangan Perdagangan Francais ke Istanbul, Turki mampu menarik potensi pelaburan sebanyak RM30 juta bagi syarikat francais Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh yang mengetuai delegasi itu berkata misi berkenaan bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan sekali gus menembusi pasaran Turki yang mempunyai potensi pasaran besar.

"Misi ini melibatkan mesyuarat perniagaan antara syarikat Malaysia bersama pelabur serta usahawan tempatan Turki bagi kerjasama perniagaan.

"Tujuh jenama Malaysia menyertai misi ini iaitu HOME, Laundrybar, Mokti's, Q-dees, Secret Recipe, Universal Concept of Mental Arithmetic System (UCMAS) dan US Pizza," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Fuziah yang merasmikan Pavilion Francais Malaysia di Ekspo Be My Franchise Istanbul memaklumkan ekspo itu melibatkan penyertaan 50 negara bersama lebih 200 jenama tempatan dan antarabangsa.

Turki merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan 16 negara Asia Barat bagi 2022 manakala perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan rekod tertinggi setakat ini iaitu RM20.25 bilion.

Fuziah juga dijadual mengadakan mesyuarat ringkas bersama wakil badan Foreign Economic Relations Board of Turkiye (DEIK) dan wakil persatuan francais di Turki iaitu Turkish Franchising Association (UFRAD), pertemuan dengan wakil persatuan Tider Food Bank selain lawatan ke beberapa outlet francais tempatan di Istanbul serta francais tempatan Turki.

-- BERNAMA