ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengumumkan penyertaannya dalam membangunkan modul di Stesen Lunar Gateway NASA Artemis bagi  menjalankan misi kembali ke bulan dan merangka laluan untuk misi pertama manusia ke Marikh.

UAE juga akan menghantar angkasawan pertamanya ke orbit bulan sebagai sebahagian daripada projek yang dibangunkan bersama Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU).

Misi utamanya adalah untuk memberikan sumbangannya dalam pembangunan modul Crew and Science Airlock di Stesen Lunar, yang bertujuan mengukuhkan kehadiran globalnya dalam bidang sains dan teknologi angkasa lepas.

Stesen Lunar yang dibangunkan akan berfungsi sebagai makmal angkasa lepas, membolehkan pelbagai eksperimen saintifik dan teknikal dijalankan dan akan mempunyai jangka hayat minimum 15 tahun.

Manakala unit dibangunkan UAE akan bertindak sebagai portal stesen, berfungsi sebagai pintu masuk dan keluar untuk misi dan angkasawan yang melakukan perjalanan ke permukaan bulan dari Stesen Lunar.

Pembangunan Airlock akan merangkumi lima peringkat utama: Peringkat perancangan; fasa reka bentuk; proses kelayakan; penyediaan penerbangan; dan peringkat operasi.

Manakala Pusat Angkasa Mohammed Bin Rashid (MBRSC) akan bertanggungjawab mengurus, menyelenggara dan mengendalikan Airlock, memastikan ia berfungsi sebagai sebahagian daripada Stesen Lunar.

Elemen pertama Stesen Lunar dijangka akan dilancarkan menjelang 2025, manakala Emirates Airlock dijadualkan dilancarkan menjelang 2030.

Sementara itu Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dalam pada itu melahirkan rasa bangganya terhadap institusi dan pasukan dari negaranya yang menyumbang untuk mencapai cita-cita UAE dalam sektor angkasa.

“Penyertaan UAE dalam projek antarabangsa ini mencerminkan komitmen kami untuk mempromosikan perkongsian dengan dunia yang menyumbang kepada kemajuan ilmu. dan kemajuan untuk umat manusia,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengulangi sokongan berterusan kepimpinan untuk penyertaan berterusan dalam misi dan acara antarabangsa yang memajukan pembangunan mampan negara dan masyarakat global.

Penglibatan UAE ini jelas menandakan kemajuan penting dalam kerjasama angkasa antarabangsa selain menjadi pemain utama pembangunan angkasa global pada masa depan.

Misi ini mewakili cita-cita baharu manusia untuk melawat semula bulan selepas ketiadaan eskpedisi melebihi lima puluh tahun selain persediaan untuk misi akan datang yang ditujukan ke Marikh.