LABUAN: Misteri darah menitis dari atas siling bilik stor milik seorang penghuni tingkat tiga flat perumahan, akhirnya membongkar rahsia dengan penemuan mayat seorang lelaki yang mulai mereput.

Dalam kejadian di tingkat tiga Perumahan Taman Mutiara Sungai Bedaun, Labuan pada Selasa itu, mayat mangsa ditemukan dengan keadaan sedang duduk di tingkat atas kediaman berkenaan.

Difahamkan mayat lelaki berusia 44 tahun itu sudah meninggal beberapa hari yang lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, sebaik menerima laporan pengadu yang juga penghuni perumahan tersebut, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Kita menerima panggilan sekitar jam 3.45 petang dan sepasukan anggota bomba kemudiannya bertindak memotong pagar besi keselamatan kerana kediaman mangsa difahamkan berkunci.

"Hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah mangsa, kita mendapati keadaan mangsa sudah mulai mengeluarkan cecair busuk dan dipercayai mangsa sudah meninggal dunia tiga ke empat hari sebelum berjaya ditemukan," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan mayat lelaki berusia 44 tahun itu sudah meninggal beberapa hari yang lalu. - foto PDRM

Jelas beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, tiada sebarang kecederaan atau luka di bahagian anggota badan mangsa.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah ditemukan setakat ini.