MITI anjur dua acara tonjol kepimpinan ekonomi Malaysia dalam ASEAN

MITI akan menganjurkan Forum Wanita Dalam Perdagangan dan Industri (WITI) pada 8 Okt, 2025 dan Persidangan Ekonomi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN 2025 pada hari berikutnya. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menganjurkan Forum Wanita Dalam Perdagangan dan Industri (WITI) pada 8 Okt, 2025 dan Persidangan Ekonomi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN 2025 pada hari berikutnya.
Dalam satu kenyataan, MITI berkata, kedua-dua acara yang akan berlangsung di Menara MITI di sini itu pada masa sama mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi mampan di bawah kepengerusian ASEAN 2025 (Tonggak Ekonomi).
Bertemakan "Menggerakkan Kuasa Wanita di ASEAN: Perdagangan dan Industri Merentas Sempadan", Forum WITI 2025 itu dianjurkan bersama Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Hawa Malaysia) dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA).
"Acara ini bermatlamat menonjolkan peranan wanita sebagai penyumbang utama kepada daya tahan ekonomi ASEAN dan masa depan yang mampan, dengan jangkaan penyertaan melebihi 1,000 peserta."Forum ini akan menampilkan sesi perkongsian ilmu yang menarik, menumpukan kepada pemerkasaan wanita dalam bidang perdagangan dan inovasi digital, akses kepada pembiayaan dan pasaran, peluang kepimpinan dan bimbingan, serta amalan perniagaan inklusif dan lestari," kata kementerian itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menyampaikan ucaptama, disusuli ucaptama penutup forum oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sementara itu, bagi Persidangan Ekonomi PKS ASEAN 2025, MITI berkata, sebanyak 600 syarikat dijangka menyertai acara itu yang dianjurkan bersama CIMB Bank Bhd sebagai penaja utama, serta WPP Media dan Astro, dengan tema "Meneroka Peluang Ekonomi bagi PKS di ASEAN".
Menurut kementerian itu, persidangan ini akan menghimpunkan kalangan pemikir, pelabur dan usahawan dari seluruh ASEAN bagi membincangkan strategi memperkukuh daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengukuhkan integrasi serantau serta meningkatkan akses kepada pembiayaan dan pasaran.
"Antara tumpuan utama persidangan ialah pembiayaan PKS, transformasi digital, serta strategi pemasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain sesi perkongsian pengalaman oleh pakar serantau, pelabur dan pengasas PKS berjaya," kata MITI.
Selain Tengku Zafrul, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan timbalannya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dijangka turut menyampaikan ucaptama pada acara itu.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, PKS Malaysia adalah nadi ekonomi negara dan berhak mendapat setiap peluang untuk berkembang melebihi sempadan negara.
"Sebagai Pengerusi Tonggak Ekonomi ASEAN tahun ini, MITI berbesar hati menganjurkan bersama acara perkongsian ilmu dan rangkaian ini yang berpotensi mengubah perniagaan PKS daripada 'usaha domestik kepada kekuatan serantau'.
"Melalui pembiayaan bersasar, bimbingan, rangkaian serantau, dan sokongan pemasaran berstrategi berasaskan AI, kami memperkasa PKS untuk berkembang maju di seluruh ASEAN dan bersaing dengan lebih yakin," katanya.
Kalangan PKS yang berminat menyertai Forum WITI 2025 boleh mendaftar di https://docs.google.com/forms/d/1JzWBNastE4zEIiCrx8SjJe_P8SisuslIUrMqLGKNe2M/preview, manakala pendaftaran bagi Persidangan Ekonomi PKS ASEAN 2025 di https://www.asean-sme.com/register .
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami