KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis syarikat pembuat kenderaan tempatan mampu mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) nasional pertama menjelang 2025, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"Malah, di MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) mereka ada berkongsi perkembangan terkini mengenai perancangan mereka. Pasukan kita dari MITI juga terlibat dalam memahami kemajuan ini.

"Jadi setakat ini, nampaknya boleh dicapai, kalau dengar daripada taklimat syarikat nasional, kita akan dapat capai matlamat yang kita sasar, pada 2025," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kenderaan smart #1 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Proton Holdings Bhd turut menunjukkan komitmen dalam pelaburan stesen pengecasan EV.

Justeru, Malaysia diyakini dapat menyediakan 10,000 unit pengecas EV di seluruh negara seperti yang disasarkan menjelang 2025, katanya.

Ketika ditanya mengenai EV harga mampu milik, Tengku Zafrul berkata kerajaan sememangnya menyarankan lebih banyak syarikat pengeluar EV menjalankan pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia supaya boleh menawarkan EV pada harga yang berpatutan.

"Kerajaan memang memberi banyak insentif untuk EV tetapi, seperti disebut tadi insentif ini mesti dapat dinikmati semua rakyat Malaysia, bukan sahaja mereka yang mampu beli. Kita mahu mendemokrasikan penggunaan EV, kita hendak memastikan lebih ramai rakyat mampu beli EV.

"Mengenai cukai jalan EV, kita telah berbincang dalam Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC). Kini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke (Siew Fook) sedang memuktamadkannya dan saya percaya beliau akan membuat pengumuman dalam masa terdekat," katanya.

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata kemasukan pembuat kereta berkelas dunia seperti Smart ke dalam pasaran Malaysia menunjukkan kerelevanan negara dengan landskap automotif serantau, khususnya dalam segmen EV.

"Lebih penting lagi, potensi untuk mewujudkan pekerjaan akan menjadi sangat besar apabila kemahiran baharu diperlukan untuk memenuhi permintaan sektor yang sedang pesat membangun ini.

"Ini bukan sahaja akan menarik bakat malah juga menggalakkan keusahawanan dalam ruang EV," katanya.

Beliau berkata kerjasama baharu itu juga akan menyokong Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak, dalam visinya untuk menjadi hab automotif berteknologi tinggi dan lokasi utama pembangunan kereta masa depan oleh kumpulan Proton.

Proton New Technology Sdn Bhd (Pro-Net) milik penuh Proton Holdings adalah pengedar eksklusif bagi smart#1 di Malaysia dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata syarikat komited untuk membentuk semula landskap mobiliti sepenuhnya elektrik premium di negara ini.

"Dedikasi kami terletak pada usaha membentuk semula keyakinan pengguna melalui perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang, merangkumi komponen dan alat ganti yang mudah didapati, peta pengecasan awam bersepadu dan ekosistem digital yang lancar.

"Kami amat yakin bahawa kunci kepada kejayaan ini adalah dengan meletakkan keperluan dan keinginan pelanggan sebagai keutamaan dalam setiap produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan," katanya.

Beliau berkata Pro-Net menyasar untuk mencapai sasaran jualan 800 hingga 1,000 unit smart #1 tahun depan, selepas menerima sejumlah 500 tempahan sebelum mengumumkan harga rasminya.

smart #1 didatangkan dengan tiga varian iaitu, Pro, Premium dan Brabus masing-masing berharga RM189,000, RM219,000 dan RM249,000.

Zhang berkata sebanyak 80 peratus tempahan diterima daripada pesanan digital iaitu melalui aplikasi Hello smart sementara itu, 60 peratus daripada keseluruhan tempahan adalah untuk model smart#1 Brabus, katanya.

Bagi pasaran serantau terutama Thailand, Pro-Net menyasar untuk mengeksport ke negara itu pada pertengahan tahun hadapan, katanya.

-- BERNAMA