Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI menyalurkan RM3.28 juta kepada 164 rumah ibadat masyarakat India melalui Program Dharma MADANI dan Program Harmoni MADANI.
- Bantuan ini melibatkan rumah ibadat Hindu, Sikh dan Kristian, termasuk 57 gurdwara dan 12 gereja yang masing-masing menerima RM20,000.
- Jumlah keseluruhan bantuan di bawah Program Dharma MADANI kini mencecah RM15.42 juta, melibatkan 771 rumah ibadat Hindu seluruh negara.
PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI menyalurkan bantuan berjumlah RM3.28 juta kepada 164 rumah ibadat masyarakat India di seluruh negara menerusi Program Dharma MADANI dan Program Harmoni MADANI.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, bantuan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu bertujuan memperkasa fungsi rumah ibadat sebagai pusat pembangunan komuniti.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut merangkumi rumah ibadat masyarakat India beragama Hindu, Sikh dan Kristian.
“Hari ini kita telah melaksanakan program yang melibatkan 164 rumah ibadat, kali ini bukan sahaja untuk masyarakat India beragama Hindu tetapi juga Sikh dan Kristian.
“Jadi RM3.28 juta telah disalurkan, 69 daripada rumah ibadat tersebut adalah 57 gurdwara dan 12 gereja. Inisiatif ini akan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Harmoni MADANI dan Dharma MADANI di sini, hari ini.
Menurut Ramanan, bantuan kewangan itu membolehkan rumah ibadat mempergiat pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti, khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan kerohanian dan sahsiah, kebudayaan serta pemerkasaan generasi muda.
Menerusi Program Harmoni MADANI Siri 1, kerajaan meluluskan peruntukan RM1.38 juta kepada 69 rumah ibadat, terdiri daripada 57 gurdwara dan 12 gereja, dengan setiap rumah ibadat menerima RM20,000.
Sementara itu, sebanyak RM1.9 juta diperuntukkan kepada 95 rumah ibadat Hindu menerusi Program Dharma MADANI Fasa 2.
Peruntukan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang diluluskan di bawah Program Dharma MADANI meningkat kepada RM15.42 juta, melibatkan 771 rumah ibadat Hindu di seluruh negara.