IPOH: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menuntut agar pesawat yang digunakan untuk Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Services atau FDS) sama tahap kualitinya dengan yang digunakan oleh menteri.
Presidennya Datuk Dr R Thirunavukarasu menegaskan, kerajaan mesti mengutamakan keselamatan petugas perkhidmatan itu terlebih dahulu kerana mereka menjaga keselamatan orang lain.
Menurutnya, MMA bersetuju bahawa FDS perlu diteruskan kerana ia diperlukan oleh masyarakat, khususnya dalam kes-kes kecemasan.
“Tetapi, kerajaan harus pastikan pesawat yang dinaiki itu… kalau menteri-menteri boleh naik pesawat yang bagus, kenapa sektor ini tak boleh dapat pesawat yang bagus?
“Apakah ada double standard? Jadi, kena pastikan keselamatan pekerja-pekerja kesihatan, sama ada doktor, penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu atau juruterbang, semuanya,” katanya kepada media selepas majis perasmian Konvensyen Kebangsaan MMA dan Kongres Saintifik 2026 di sini, hari ini.
Dr Thirunavukarasu mendakwa, apa yang berlaku sekarang, seolah-olah keselamatan petugas perkhidmatan udara diabaikan demi untuk keselamatan orang lain.
Menurutnya, selain pesawat, MMA juga mahu kerajaan memastikan, hanya pengangkutan yang telah disahkan secara bebas sebagai selamat, layak berada di jalan raya atau belayar, serta sesuai dengan tujuan operasi, digunakan untuk membawa petugas kesihatan.
Tegasnya, tiada pesawat, ambulans, bot atau kenderaan lain seharusnya digunakan semata-mata kerana ia tersedia atau kerana kontrak telah diberikan.
Dalam masa sama, katanya, MMA juga mahu kerajaan melihat semula kebajikan petugas sektor kesihatan, seperti elaun yang lebih sesuai dengan tugas mereka.
Pada Selasa, sebuah helikopter FDS Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak mengorbankan kesemua lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Layang-Layang Aerospace Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan KKM, Dr Ainul Baroah Kamarudin, 33; penolong pegawai perubatan Alexson Adit anak Henry, 31; serta dua jururawat KKM, Deborah anak Moset, 40, dan Jessie Paya Jo, 44.