IPOH: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Perak menyumbangkan lebih 2,000 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

Pengerusi MMA Perak Dr M Premananda Raja berkata, sumbangan itu merupakan antara komitmen pihaknya bagi membantu petugas barisan hadapan memerangi COVID-19.

"Untuk menghasilkan set PPE yang terbaharu ini, MMA Perak menaja kos bahan fabrik non-woven material (diperbuat daripada fiber). Ia bernilai RM7,140.

"Perkhidmatan jahitan PPE ini disediakan oleh Eadeco Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat pembuatan tekstil yang berpusat di Perak.

"Barangan ini diberikan kepada JKN dan mereka akan salurkan kepada bahagian yang memerlukan, kerana mereka lebih tahu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penyerahan sumbangan tersebut kepada JKN Perak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKN Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.

Foto Astro AWANI

BACA: COVID-19: Perak catat peningkatan kes perlu rawatan kritikal, ICU

BACA: COVID-19: JKN Perak pastikan perkhidmatan pengurusan hospital dalam keadaan optimum

Dalam pada itu Dr Premananda berkata, bantuan sumbangan akan diteruskan dari masa ke semasa, bukan sahaja dalam bentuk PPE tetapi juga keperluan lain.

Sementara itu, Dr Ding ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut membawa makna yang cukup besar kepada pasukan perubatan dalam mendepani pandemik COVID-19.

"Kami begitu menghargai sokongan daripada semua pihak terutama MMA Perak yang aktif menggerakkan kerja-kerja kebajikan seperti ini.

"Semua sedia maklum kita sedang berjuang melawan COVID-19, justeru kelengkapan ini penting bagi melindungi petugas perubatan yang terbabit," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, terdapat peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Menurutnya, kes COVID-19 di Perak dijangka akan meningkat secara mendadak dalam dua hingga tiga minggu akan datang.

Ia seterusnya akan meningkatkan penggunaan PPE, peralatan kesihatan dan bekalan perubatan.

Dana ‘MMA Perak COVID-19 Fund’ dilancarkan pada Julai lepas untuk mengumpul sumbangan daripada orang awam bagi tujuan peralatan kesihatan, bekalan perubatan, PPE dan vaksinasi COVID- 19 di Perak. 

Foto Astro AWANI