Skip to main content

Malaysia

MMA tuntut pesawat Perkhidmatan Doktor Udara setanding dinaiki menteri

[TB]_Thirunavukarasu Rajoo_FB Thirunavukarasu Rajoo
Dr Thirunavukarasu berkata, apa yang berlaku sekarang, seolah-olah keselamatan petugas perkhidmatan udara diabaikan demi untuk keselamatan orang lain.
Advertisement

IPOH: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menuntut agar pesawat yang digunakan untuk perkhidmatan doktor udara sama standard dengan yang digunakan oleh menteri.

Presidennya Datuk Dr R Thirunavukarasu menegaskan, kerajaan mesti memastikan terlebih dahulu keselamatan petugas perkhidmatan itu kerana mereka menjaga keselamatan orang lain.

Menurutnya, MMA bersetuju bahawa perkhidmatan doktor udara perlu diteruskan kerana ia diperlukan oleh masyarakat, khususnya dalam kes-kes kecemasan.

“Tetapi, kerajaan harus pastikan pesawat yang dinaiki itu… kalau menteri-menteri boleh naik pesawat yang bagus, kenapa sektor ini tak boleh pesawat yang bagus.

“Apakah ada double standard? Jadi kena pastikan keselamatan, keselamatan, pekerja-pekerja kesihatan, sama ada doktor, penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu atau juruterbang, semua,”  katanya pemberita selepas majis perasmian Konvensyen Kebangsaan MMA dan Kongres Saintifik 2026 di sini, hari ini.

Dr Thirunavukarasu berkata, apa yang berlaku sekarang, seolah-olah keselamatan petugas perkhidmatan udara diabaikan demi untuk keselamatan orang lain.

Menurutnya, selain pesawat, MMA juga mahu kerajaan memastikan, hanya pengangkutan yang telah disahkan secara bebas sebagai selamat, layak berada di jalan raya atau belayar serta sesuai dengan tujuan operasi digunakan untuk membawa petugas kesihatan.

Tegasnya, tiada pesawat, ambulans, bot atau kenderaan lain seharusnya digunakan semata-mata kerana ia tersedia atau kerana kontrak telah diberikan.

Dalam masa sama, katanya, MMA juga mahu kerajaan melihat semula kebajikan petugas sektor kesihatan, seperti elaun yang lebih sesuai dengan tugas mereka.

Pada Selasa, sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak mengorbankan kesemua lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan.

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Layang-Layang Aerospace Kapten Zainol Afiq Bisham, 30; Pegawai Perubatan KKM, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit anak Henry, 31; serta dua jururawat KKM, Deborah anak Moset, 40, dan Jessie Paya Jo, 44.

 

Must Watch Video

Advertisement