KUALA LUMPUR:Ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 yang meyebabkan permintaan terhadap sarung tangan perubatan melonjak, ada pihak dikesan mengambil kesempatan melakukan penipuan.

Ia bukan sahaja membabitkan penipuan kecil-kecilan membabitkan pembeli runcit, malah kini skalanya dipercayai semakin besar melalui skim jualan kononnya dari kilang.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Berhad (Hartalega), Kuan Mun Leong, berkata pihaknya mengesan kegiatan sindiket yang aktif melakukan jenayah itu.

“Mengambil kesempatan ke atas keadaan pandemik ini, ramai penipu dengan berani mengumpan bakal pembeli dengan membuat dakwaan palsu.

“Dakwaan mereka berkisar tentang bekalan stok dan peruntukan sedia ada sarung tangan nitril dan lateks jenama GloveOn, yang merupakan jenama milik Hartalega,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menyifatkan kegiatan itu semakin berleluasa, beliau berkata, Hartalega mengambil pendirian tegas dalam usaha membanteras kegiatan pengendali skim penipuan jualan sarung tangan terbabit.

Beliau mendedahkan antara taktik penipuan yang sering dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab, antaranya:

- Mendakwa merupakan broker, ejen sah atau wakil sah untuk menjual jenama GloveOn Hartalega.

- Mendakwa bahawa mereka memegang peruntukan/kapasiti bagi jenama GloveOn Hartalega.

- Mendakwa mempunyai berjuta-juta stok GloveOn sedia ada.

- Menunjukkan gambar dan video stok di gudang kepada pembeli.

- Berjanji pembeli boleh melihat stok di gudang.

- Membuat dakwaan bahawa mereka mempunyai stok kerana mendapat peruntukan daripada hospital.

- Meminta bakal pembeli mengemukakan Bukti Dana (POF).

- Meminta bakal pembeli membuat bayaran awal kepada pihak ketiga atau menerusi akaun transaksi tertentu.

- Meminta bakal pembeli membuat sebahagian pembayaran pendahuluan ke akaun Hartalega dan bakinya dalam akaun pihak ketiga.

- Meminta bakal pembeli untuk mengemukakan Surat Hasrat (LOI) kepada Hartalega.

- Menggalakkan bakal pembeli untuk menandatangani Perjanjian Tanpa Pemintasan dan Tanpa Pendedahan (NCNDA) dengan broker atau pemegang peruntukan.

- Mendapatkan tempahan menerusi platform media sosial.

- Menyediakan dokumen, sijil atau video palsu.

- Menjual produk GloveOn palsu, yang menggunakan pembungkusan dan sarung tangan palsu, dan dokumen, sijil, gambar dan video yang diubah suai.

Tambah beliau, Hartalega telah mengambil tindakan undag-undang terhadap pengendali skim penipuan itu selain membuat beberapa laporan polis dalam tempoh beberapa bulan lepas.