KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memohon cadangan peruntukan RM200 juta bagi Program Usahawan Siswazah (PUSH) diluluskan Kementerian Kewangan (MOF) dalam Bajet 2023.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata PUSH bertujuan untuk memberi galakan kepada usahawan siswazah dan PUSH merupakan salah satu dari tujuh inisiatif perancangan baru kementerian itu bagi Bajet 2023.

Sebelum ini, peruntukan RM200 juta bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM), yang dibuka pada 1 Jan kepada usahawan mikro yang tidak mempunyai lesen perniagaan, telah habis dimohon dalam tempoh tiga bulan.

"PUSH saya harap lulus dan kami mohon dana RM200 juta, sama jumlah dengan peruntukan RM200 juta SPIM," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 di sini hari ini.

Pada majlis hari ini, SME Bank telah meneruskan program tanggungjawab korporatnya Penjana Komuniti@SME Bank 3.0, sebagai langkah berterusan untuk memulih dan memperkukuhkan perniagaan usahawan B40.

Pada masa sama, SME Bank memperuntukkan RM1.7 juta untuk meneruskan program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0, melibatkan 249 orang usahawan B40 untuk memulih dan memperkukuhkan perniagaan yang sedang mereka usahakan.

-- BERNAMA