KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menafikan berlaku penjualan aset kompleks produksi filem dan televisyen Iskandar Malaysia Studios (IMS) seluas 49 ekar di Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, aset itu masih kekal dalam pemilikan Khazanah Nasional melalui anak syarikat bertujuan khas (SPV), Tanjung Bidara Ventures Sdn Bhd.

"Apa yang berlaku ialah penjualan saham syarikat pengendali operasi studio, iaitu IMS.

"Ini merupakan inisiatif Khazanah untuk mencari rakan kongsi baharu yang dapat mengendalikan operasi studio dengan lebih baik.

"IMS sebagai syarikat pengendali studio hanya memajak tanah dan bangunan sehingga tahun 2036," katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan  Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang bertanyakan rasional penjualan aset kompleks produksi filem dan televisyen IMS seluas 49 ekar yang bernilai RM32 juta di Iskandar Puteri, Johor Bahru kepada sebuah firma Singapura.

Chee Keong antaranya berkata, IMS telah membawa impak kepada ekonomi setempat berjumlah RM1.2 bilion selain membuka lebih 8,000 peluang pekerjaan sejak beroperasi bermula Jun 2014.

Bagaimanapun ujarnya, IMS turut berdepan cabaran dari segi kemampanan kewangan dan ia diburukkan dengan kesan kepada industri perfileman akibat pandemik COVID-19.

"Seterusnya, pada April 2022, Khazanah membuat keputusan untuk memilih Studio Management Services Sdn Bhd (SMS) untuk jalinan kerjasama ini.

"SMS merupakan sebuah konsortium yang dipimpin oleh pasukan pengurusan tempatan IMS dan rakan kongsi serantau, GHY Culture & Media Holding Co Limited dan anak syarikatnya, GHY Culture & Media (Malaysia) Sdn Bhd (GHY).

"Kumpulan GHY merupakan sebuah syarikat kumpulan media pelbagai yang terkemuka dalam industri hiburan Asia dan tersenarai di Bursa Saham Singapura," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kompleks produksi filem dan televisyen IMS dinilai berjumlah RM32 juta, lebih dari lapan tahun selepas ia dibuka dengan pelaburan antara RM528 juta hingga RM748 juta.

Ini didedahkan dalam sebuah laporan oleh laman berita hiburan Amerika, Variety, mengenai penyedia kandungan Singapura GHY Culture & Media yang membeli IMS dengan jumlah RM35.34 juta.

Projek IMS adalah hasil daripada perjanjian strategik antara Khazanah Nasional Berhad dan kumpulan Pinewood Studios UK.