Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan bahawa UMNO tidak memerlukan rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata ucapannya semasa perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Seremban, Sabtu lalu, telah diputar belit beberapa pihak.

"Apa yang saya cuba tekankan dalam mesyuarat berkenaan ialah bahawa kita, ahli UMNO, perlu melihat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti adalah satu pilihan raya yang amat mustahak dan getir sekali.

"Semua pihak mesti bekerja kuat untuk pastikan parti menang.

"Begitu juga parti komponen yang lain, mesti kerja kuat, kalau tak kerja kuat, matilah, tapi saya gunakan perkataan mapuih, ini bahasa kampung saya, maknanya susahlah," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri semua pemimpin parti komponen BN di sini, hari ini.

Antara yang hadir ialah Pengerusi MCA negeri Datuk Seri Lim Chin Fui, wakil MIC negeri V.S. Morgan, Pengerusi Parti Gerakan negeri David Choong Vee Hing, dan setiausaha BN negeri Datuk Hashim Rusdi.

Mohamad berkata UMNO negeri mesti mempertahankan 22 kerusi yang dimenangi semasa pilihan raya yang lalu, bagi membolehkan UMNO terus mentadbir negeri ini.

Katanya beliau turut mencadangkan kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk melihat semula formula pembahagian kerusi.

"Kenapa tidak kita kaji semula supaya semasa PRU14 nanti, kita buat strategik punya pembahagian kerusi di mana kerusi-kerusi yang majoritinya orang Melayu, bagi pada UMNO sebab kalau kita buat begitu peluang untuk UMNO menang, ada.

"Dan untuk kita berlaku adil, saya juga cadangkan sebagai pertukaran kita bagilah senatorship pada rakan kita (parti komponen).

"Tak guna kita tersekat dengan formula lama tetapi kita tak menang dan yang paling takut nanti kita terus tak boleh tubuhkan kerajaan," katanya.

Mohamad berkata beliau bersedia memohon maaf jika tindakan itu dapat menjernihkan suasana, tetapi bukan kerana beliau melakukan kesalahan.

"Jika saya disalah tafsir, saya minta maaf. Jika semua yang mendengar fikir macam itu yang mana tujuan saya memperkecilkan dan menidakkan peranan parti BN, saya memohon maaf," katanya.

Sementara itu, Ketua MIC Bahagian Jempol Datuk L. Manickam berkata beliau yakin Mohamad tidak mempunyai niat untuk mengetepikan peranan parti komponen yang lain.

"Kenyataan daripada Mohamad ini saya anggapkan sudah diputar belit. Saya tidak pernah nampak beliau berfikiran begitu.

"Jadi apabila ada yang menghubungi saya tentang kenyataan itu, saya telah memberi penjelasan bahawa saya pasti 100 peratus bahawa beliau tak mungkin mempunyai niat sebegitu," katanya.