Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata pada Selasa beliau terharu diberi penghormatan dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu.

"Pelantikan itu oleh Agong. Saya terharu Agong menaruh keyakinan pada diri saya. Saya akan berusaha sedapat mungkin menjalankan tugas sebagai Peguam Negara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mohamed Apandi, Hakim Mahkamah Persekutuan mengambil alih tugas daripada Tan Sri Abdul Gani Patail.

Khidmat Abdul Gani sebagai Peguam negara ditamatkan berkuasa 27 Julai atas sebab kesihatan, umum Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa di Kuala Lumpur, Selasa.

Mohamed Apandi berkata fokus kerja beliau adalah menjadi penasihat perundangan kepada kerajaan, kabinet and Agong berdasarkan peruntukan Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Saya dapat tahu semalam (Isnin). Sebelum terima jawatan itu, saya kena letak jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

"Jadi saya letak jawatan semalam. Saya terima surat pelantikan pada pukul 10.30 pagi daripada pejabat KSN," katanya.

Mohamed Apandi memiliki pengalaman luas hasil kerjayanya selama empat dekad dalam profesion perundangan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim, penasihat undang-undang, timbalan pendakwa raya (DPP) dan peguam.

Dilahirkan pada 11 Feb, 1950 di Kota Baharu, Kelantan, beliau lulus pada 1972 dari University of London dan memegang ijazah LLB (Kepujian).

Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan perundangan sebagai seorang majistret di Kuala Terengganu dari 1973 hingga 1975.

Menurut laman web kehakiman, Mohamed Apandi, 65, kemudian dilantik sebagai pengarah Biro Bantuan Guaman Kota Baharu untuk dua tahun seterusnya dan berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya bagi Kelantan dan Terengganu dari 1977 hingga 1980.

Dari 1980 hingga 1982, Mohamed Apandi menyandang penasihat undang-undang bagi Kementerian Perdagangan dan Industri.

Beliau kemudian menyertai guaman swasta dan membuka firmanya sendiri pada 1982.

Pada 2003, Mohamed Apandi dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan, dan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 21 Dis 2004.

Beliau berkhidmat dalam jawatan itu di Kuantan dari tarikh itu hingga 14 Feb, 2007 dan seterusnya sebagai hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selama tiga tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April, 2010.

Beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 30 Sept, 2013.

Mohamed Apandi mempengerusikan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan pada 2013 yang membenarkan rayuan kerajaan bagi menghalang gereja Katholik dari menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguannya, Herald.

Beliau juga mempengerusikan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan pada tahun yang sama yang membuat keputusan sebulat suara membebaskan bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dari tuduhan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.