Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi berdepan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Beliau yang ditemani barisan peguam diketuai Tan Sri Shafee Abdullah tiba di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini sekitar pukul 4.57 petang.

Media difahamkan, beliau dijangka akan didakwa dengan tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiagaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFA) 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Ia membabitkan kesalahan antaranya secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram, memperoleh, menerima, memiliki, mengalihkan atau membawa masuk ke dalam negara hasil aktiviti haram.

Di bawah Seksyen 4 AMLATFA 2001, jika disabit boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

BACA: Najib Razak dijangka hadir beri keterangan siasatan kes SRC petang ini

Sehingga kini, belum ada sebarang pengesahan sama ada beliau akan ditahan atau tidak hari ini.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB, dalam satu kenyataan mengesahkan membuat tangkapan terhadap Najib berkaitan SRC International Sdn. Bhd.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dianggotai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam sidang media pada April lalu, berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan lebih banyak pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sekiranya terdapat lagi kertas siasatan baharu diberikan SPRM.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di Mahkamah SesyenKuala Lumpur atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.