NATIONAL
Mohamed Firouz Asnan dilantik presiden pertama UTP

Firouz memiliki lebih 35 tahun pengalaman dalam industri tenaga. - Foto FB UTP
SERI ISKANDAR: Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) hari ini mengumumkan pelantikan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) Mohamed Firous Asnan sebagai presiden pertama universiti itu, berkuat kuasa serta-merta.
Ringkasan AI
- Universiti Teknologi PETRONAS melantik Mohamed Firouz sebagai presiden pertama, berkuat kuasa serta-merta, sebagai langkah strategik ke arah menjadi institusi bertaraf dunia.
- Firouz memiliki lebih 35 tahun pengalaman dalam industri tenaga serta pernah mengetuai Malaysia Petroleum Management, selain merancang strategi kelestarian tenaga baharu Petronas.
- Firouz akan mengarahkan semula penyelidikan kepada isu global serta memperkukuh kerjasama dengan institusi lain, sambil menerajui inisiatif bagi mempelbagaikan sumber pembiayaan universiti.
"Dengan lebih 35 tahun pengalaman dalam sektor tenaga dan enam tahun sebagai Lembaga Pengarah UTP, beliau memiliki gabungan kepakaran dalam pengurusan strategik dan pelaksanaan.
"Sebagai Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management, Petronas, Firouz juga berperanan dalam merancakkan sektor huluan negara, termasuk menjalin kerjasama strategik dengan syarikat petroleum dan institusi akademik bagi memajukan industri dalam menghadapi cabaran peralihan tenaga.
"Beliau turut mengetuai penubuhan Perniagaan Tenaga Baharu Petronas sebagai Naib Presiden Kanan Strategi Korporat, dalam usaha memastikan kelestarian masa depan syarikat," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UTP Farehana Hanapiah berkata Firouz akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi bag mencapai visi, misi dan matlamat jangka panjang UTP.
Beliau berkata UTP telah mencapai kemajuan ketara dalam bidang penyelidikan serta meraih pelbagai pengiktirafan, dan Mohamed Firouz dijangka mengarahkan semula fokus penyelidikan kepada isu-isu utama global yang mampu menyumbang kepada masa depan lebih mampan dan bermakna
"Ini termasuk memperkukuh kerjasama dengan rakan institusi dan pemain industri untuk mengubah industri serta masyarakat.
"Beliau juga akan menerajui inisiatif untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan universiti demi menjamin kemampanan kewangan sekali gus menyokong misi universiti," katanya.
Farehana berkata Mohamed Firouz juga akan bekerjasama dengan 'provost' baharu dilantik, yang dipilih melalui proses pemilihan komprehensif bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Sementara menunggu pelantikan itu dimuktamadkan, Naib Canselor Profesor Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib akan bertindak sebagai pemangku provost.
Dalam pada itu, Mohamed Firouz merupakan jurutera profesional berdaftar dan ahli kepada Institut Kejuruteraan Malaysia.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Southwestern Louisiana (kini dikenali sebagai University of Louisiana at Lafayette), serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) sebagai Felo Sloan.
Mohamed Firouz juga merupakan bekas Presiden MIT Club of Malaysia, dan baru-baru ini dipilih sebagai Felo ASM.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami