MALAYSIA
Mohamed Sharil Tarmizi dilantik Pengerusi CAAM, berkuat kuasa serta-merta

Mohamed Sharil Tarmizi diumum sebagai Pengerusi CAAM yang baharu, berkuat kuasa serta-merta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bermula Jumaat, fungsi kawal selia Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) secara rasmi diambil alih sepenuhnya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ringkasan AI
- CAAM kini menjadi badan kawal selia tunggal penerbangan awam Malaysia, mengambil alih sepenuhnya fungsi MAVCOM bermula 1 Ogos 2025, merangkumi aspek teknikal, keselamatan dan ekonomi.
- Pelantikan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi sebagai Pengerusi CAAM baharu dijangka memperkukuh transformasi CAAM sebagai entiti BBDSB yang lebih autonomi dan kompetitif.
- 93% kakitangan MAVCOM menerima tawaran penempatan di CAAM, menunjukkan keyakinan terhadap hala tuju baharu, dengan struktur CAAM turut diperkukuh melalui pelantikan ahli berpengalaman dalam ekonomi dan hak pengguna.
Anthony Loke menjelaskan, rasionalisasi itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem pengawalseliaan penerbangan yang lebih efisien, responsif dan berpaksikan tadbir urus yang baik, selaras dengan piawaian antarabangsa yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Selaras dengan itu, beliau turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi sebagai Pengerusi CAAM yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
"Dengan pengalaman luas dalam sektor perundangan dan korporat, termasuk pernah menerajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), saya percaya beliau mampu membawa CAAM ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam fasa transformasi baharu ini sebagai sebuah entiti Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas (BBDSB)," ujarnya.
Menurutnya, status BBDSB memberi CAAM autonomi dalam merancang strategi kewangan dan pengurusan sumber manusia, termasuk menawarkan struktur gaji lebih kompetitif bagi menarik serta mengekalkan bakat berkemahiran tinggi.
Selain itu kata Anthony Loke, sebagai sebahagian daripada rasionalisasi itu semua kakitangan MAVCOM ditawarkan penempatan di CAAM.
"Sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 93 peratus kakitangan MAVCOM menerima tawaran tersebut. Ini merupakan satu isyarat jelas terhadap keyakinan mereka terhadap hala tuju baharu CAAM sebagai sebuah organisasi penerbangan yang lebih kukuh dan menyeluruh," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, bagi menyokong mandat CAAM yang diperluas, struktur anggota pihak berkuasa CAAM turut diperkukuhkan.
"Selain anggota sedia ada, pelantikan tambahan akan dibuat, termasuk seorang wakil daripada Kementerian Ekonomi dan dua lagi ahli yang berpengalaman dalam bidang ekonomi, dasar persaingan dan hak pengguna.
"Langkah ini bertujuan memperkukuh keupayaan tadbir urus serta memperluas tanggungjawab CAAM dalam aspek pengawalseliaan ekonomi. MOT yakin bahawa penyatuan fungsi kawal selia ini bukan sahaja
menyelaraskan struktur institusi penerbangan negara, malah meningkatkan kecekapan operasi, daya saing industri, serta keupayaan CAAM untuk terus melonjak sebagai pengawal selia penerbangan bertaraf antarabangsa," jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami