KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly sebagai pengarah bukan eksekutif berkuatkuasa pada hari ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan itu berkata Mohammed Shazalli, 62, sebelum ini menyandang jawatan sebagai pengarah urusan kumpulan Boustead Holdings Bhd pada Disember 2020 hingga Disember 2022.

Beliau pernah bertugas sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Telekom Malaysia Bhd bagi tempoh April 2017 hingga Jun 2018 dan berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif serantau dan naib presiden eksekutif korporat Axiata Group Bhd pada September 2016 hingga Mac 2017.

Mohammed Shazalli merupakan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan St. Louis University, Missouri dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pemasaran) Indiana University Bloomington di Amerika Syarikat.

-- BERNAMA