MELAKA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan beberapa kementerian berhubung isu berkaitan umat Islam.

Beliau berkata antara isu tersebut adalah membabitkan vaksin dan ubat-ubatan serta beberapa perkara lain yang menjadi topik diperkatakan masyarakat Islam di negara ini.

Katanya antara kementerian terlibat termasuklah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

"Saya rasa apabila melibatkan isu-isu sebegini... mesyuarat antara kementerian itu sangat penting... saya akan beri kupasan hasil perbincangan.

"Saya ingat bukan isu berkaitan vaksin dan ubat-ubatan sahaja tapi kita akan tengok secara keseluruhan, insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Amal @ Promosi Baitulmal di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Mengulas mengenai konvoi berkenaan, Mohd Na'im berkata sebanyak 25 kenderaan akan bergerak ke Kampung Batu Gajah, Jalan Merlimau Pasir untuk menyerahkan sebuah rumah kepada keluarga asnaf di bawah program My Haus.

Beliau berkata program itu adalah yang ketiga dilaksanakan selepas dijalankan di Kelantan dan Pulau Pinang dan akan diteruskan di negeri-negeri lain.

-- BERNAMA