Moratorium bagi perlombongan bauksit yang dijadual berakhir 31 Mac ini mungkin disambung tiga bulan atau lebih lama lagi, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata penyambungannya diperlukan kerana lumpur merah dari kawasan simpanan bauksit masih mengalir ke kawasan berdekatan Pelabuhan Kuantan semasa musim hujan.

Namun keputusan untuk menyambung bergantung kepada keputusan Kabinet, katanya.

"Kita akan melapor kepada Kabinet dan lihat apa kata Kabinet," katanya kepada Bernama hari ini.

BACA: Kerajaan tidak tolak kemungkinan bauksit masih dilombong sepanjang moratorium

BACA: Moratorium perlombongan bauksit di Pahang dilanjut dua bulan lagi - Wan Junaidi

Untuk rekod, moratorium perlombongan bauksit bermula pada 15 Jan tahun lalu dan dipanjangkan beberapa kali dengan yang terakhir bakal tamat pada 31 Mac ini.

Ditanya sama ada moratorium akan disambung selama tiga bulan, Wan Junaidi berkata: "Saya akan fikirkan mengenainya. Mungkin lebih daripada tiga bulan".

Beliau berkata Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mengarahkan setiap pihak bukan sahaja kerajaan perlu menutup kembali lubang yang telah digali untuk melombong.

"Ini memerlukan setiap pihak yang berkaitan untuk bekerjasama untuk menyelesaikan isu ini. Ini kerana sesetengah tanah persendirian terletak di luar akses kementerian kerana ia milik persendirian atau syarikat," katanya.

Semalam Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob memberi petunjuk moratorium perlombongan bauksit dijangka disambung tiga bulan lagi.

-- BERNAMA