KUALA LUMPUR:TEKUN Nasional menawarkan Inisiatif Prihatin Banjir kepada usahawan TEKUN yang terkesan dengan banjir sehingga premis perniagaan terjejas, kerosakan stok barangan ataupun keroskan pada kediaman masing-masing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata antara kemudahan yang ditawarkan oleh TEKUN Nasional adalah menyediakan moratorium sehingga enam bulan kepada usahawan yang sukar membayar balik pembiayaan akibat terkesan dengan banjir.

Jelasnya, usahawan TEKUN yang terjejas dengan banjir dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan mereka dan boleh membuat penjadualan semula pembiayaan.

"Bagi usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, mereka boleh memohon pembiayaan bertindih (overlapping) untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas.

"Dalam tempoh yang sukar ini usahawan seharusnya dibantu bagi memastikan mereka dapat meneruskan perniagaan dan kelangsungan hidup mereka," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini.

Jelas MEDAC, usahawan boleh mengemukakan permohonan di semua Pejabat TEKUN Cawangan dengan menyertakan dua keping gambar premis perniagaan atau rumah yang terlibat bencana banjir serta mendapatkan pengesahan pegawai TEKUN di cawangan berdekatan bencana tersebut.

Permohonan boleh dikemukakan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh berlakunya bencana banjir, sementara maklumat lanjut berhubung inisiatif tersebut akan diuar-uarkan di laman media sosial TEKUN dalam tempoh terdekat.

Menurut kenyataan itu, sejak diwujudkan pada 1998 sehingga 2020, TEKUN Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 474,965 usahawan yang bernilai RM6.4 billion di seluruh negara.

TEKUN Nasional terus komited membantu usahawan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan, demikian menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA